Saturday, 2 December 2017

Patah Hati, Rawatlah Dia



                Ada insan yang bertuah, tidak pernah ada kisah cinta yang tidak syarie. Orangnya tidak pernah terlibat dengan dunia couple. Dia ialah insan yang terbaik dan terus menjadi yang terbaik. InsyaAllah.

                Ada juga insan yang kurang bertuah. Awalnya tidak pernah bercintan-cintun. Baik orangnya. Jaga pergaulan. Akan tetapi, sejak masuk ke dunia masyarakat yang sebenar, mereka mula terdedah dengan pergaulan bebas sehingga tidak dapat mengawal perasaan dan nafsu. Akhirnya, dia berjinak-jinak dengan dunia couple. Nauzubillah.

                Dan ada juga insan yang sangat bertuah kerana memiliki petunjuk dari Allah SWT. Sejak zaman sekolah rendah lagi sudah bermain dengan cinta. Kemudian bawa ke sekolah menengah. Terus dengan mainan perasaan. Bila suka seseorang, mudah jatuh hati dan couple. Tetapi, akhirnya dia kecewa dengan cinta. Dipermainkan. Lalu mengambil langkah untuk meninggalkan dunia cinta manusia dan cuba kejar cinta Allah. Dari seorang tidak baik kepada yang lebih baik.

                Bila kita jatuh, kita akan sakit. Sakit yang hanya sementara sahaja. Bila kita ubat luka tu, maka perlahan-lahan luka itu akan sembuh.

                Inilah yang berlaku dalam sejarah hidup saya. Beberapa tahun yang lalu. Saya dikecewakan dengan cinta. Sakit. Tapi alhamdulillah, saya ubat tempat yang saya sakit itu. Perlahan-lahan ia hilang. Bila teringat akan rasa sakit tu, cepat-cepat saya sapukan ubat, agar sakit itu pergi dari benak fikiran saya.

                Bermacam-macam ubat yang saya gunakan untuk hilangkan luka tu. Walaupun ia sudah disembuhkan, kesannya masih ada untuk kita sentiasa positif dalam hidup.

                Pertama, saya guna ubat usrah. Waktu tu mula-mula kecewa cinta. Lalu saya ambil ubat dengan usrah, saya dapat hilangkan rasa sakit tu. Saya ikut abah saya pergi usrah. Caranya, kita jangan datang usrah dengan tangan kosong. Kita perlu bawa pen dan buku kosong. Disertakan dengan Al-Quran dan bahan bacaan lain. Sebagai contoh usrah yang saya ikuti bermanhajkan Al-Quran dan beberapa tafsir antaranya ialah Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran dan Tafsir Hamka.

                Jadi bila nak usrah, saya akan study dulu ayat-ayat Quran yang akan dibincangkan dalam usrah nanti. Buat persediaan awal. Bila waktu usrah, apa yang dikongsikan oleh ahli usrah, saya akan  salin dalam buku kosong yang kita bawa. Dan kadang-kadang saya pula memberi sedikit perkongsian.

                Oleh sebab itu, dengan usrah, kepala saya ni tidak lagi memikirkan soal kekecewaan tersebut. Tenang. Saya akan mula fikir untuk pengisian bagi usrah yang akan datang pula.

                Hingga kini, saya gunakan cara ini untuk menenangkan fikiran daripada memikirkan soal perkara yang tidak berfaedah. Bukan hanya pada masalah cinta je saya gunakan ubat usrah ni, masalah lain yang menggangu ketenangan diri juga memerlukan ubat ini. Usrah ni perlu diteruskan. Kerana ia medan tarbiah diri saya. Mengajar saya macam-macam hal. Lebih-lebih lagi bila saya akan berhadapan dengan masyarakat bila di Malaysia nanti.

                Kedua, saya menggunakan ubat penulisan. Selepas luka yang sakit itu sudah mula semakin sembuh, maka saya mengambil langkah menulis. Menulis apa yang saya rasa tak betul sewaktu couple dulu. Saya tulis cerpen tentang anak yang tidak dengar kata mak ayahnya. Saya tulis berkaitan mencari cinta yang halal. Saya menulis berkaitan akibat buruk bercinta sebelum nikah dan macam-macam lagi. Saya mula bina rasa minat menulis dengan niat waktu tu untuk menghilangkan rasa sakit tersebut.

                Alhamdulillah, hingga hari ini saya minat menulis. Insya-Allah kini niatnya kerana Allah SWT. Cumanya penulisan saya tidak berapa cantik. Saya pun belum pernah masuk mana-mana kursus penulisan. Mungkin bila ada rezeki nanti, saya nak masuk kursus penulisan bagi menambahkan lagi skill dalam penulisan saya. Insya-Allah.

                Seterusnya, ubat ketiga yang saya gunakan ialah menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang berfaedah. Bila sakit sudah sembuh, lukanya itu pasti meninggalkan kesannya. Namun demikian, kita kena terus merawatnya. Oleh itu, saya mula libatkan diri dengan berpersatuan.

                Saya mula buat amal kebajikan. Bantu orang dari segenap aspek kemampuan yang saya ada. Dan saya ni jenis yang suka dengar masalah orang dan cuba untuk beri penyelesaian dari masalah tersebut. Jadi, nanti otak kita akan bergerak. Berfikir untuk menyelesaikan masalah. Dari situ saya tidak akan fikir bab-bab cinta tu semua melainkan masalah orang tentang cinta. Baru saya akan fikir bab cinta. Tapi memikirkan jalan mengikut jalan yang betul, dengan menasihati agar cari cinta lepas nikah, atau sebagainya mengikut kepada siapa dan situasi kehidupannya.

                Kadang-kadang bila fikir, benda yang silam berlaku pada kita tu menjadi motivasi untuk kita sendiri supaya kita bangun dari tidur dan terus bangkit mencari keredhaan Allah SWT. Bahkan ia untuk orang lain juga. Biar kita yang rasa sakit bila kecewa, asalkan bukan orang lain yang sakit. Dan setia perkara yang membawa kebaikan pada orang ramai, kita kena teruskan. Kerana saya percaya, setiap perkara baik yang kita lakukan, akan di balas oleh Allah SWT dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Insya-Allah.

                Ubat yang keempat dan terakhir dalam penulisan ni ialah ubat dengan berusaha mendapatkan keampunan dari Allah SWT. Ubat ini perlu dibuat setiap hari. Setiap kali lepas solat 5 waktu, istighfar dan kenanglah dosa-dosa yang telah kita lakukan. Timbulkan rasa benci dengan dosa yang kita dah buat. Kalau boleh menangis, menangislah. Jangan pernah putus memohon ampun kepada Allah SWT. Kerana kita kena yakin, Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

                Kesimpulannya, sebagai seorang insan yang patah hati, carilah ubat yang sesuai dengan diri anda. Jangan sia-siakan hidup yang masih ada guna dan manfaatnya untuk Islam. Mungkin empat ubat di atas ialah ubat yang saya pilih untuk merawat. Mungkin anda berbeza ubatnya. Mengikut situasi anda. Oleh itu, carilah dan kalau boleh tinggalkan perkara yang menggangu fikiran. Tak usah difikirkan. Lebih baik fikirkan perkara yang lebih besar lagi sebagai contoh ‘ bagaimana kita nak kembalikan sinar Islam di dunia dengan menggunakan tubuh badan kita ‘. Jadikan ia persoalan setiap hari bila bangun. Itu lebih baik.

                Moga kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi ujian-ujian hidup ini dan mendapat keampunan dari Allah SWT. Insya-Allah. Amiin.


Wallahu ‘alam.

Friday, 1 December 2017

Kebajikan Buat Tahanan



Sedang scroll di laman sosial Instagram, saya lihat satu pengkhabaran tentang kesihatan pemimpin gerakan Islam di Mesir iaitu Dr M. Melihat pengkhabaran tentang penyakitnya dan terpaksa membiayai sendiri sakitnya itu membuatkan saya teringat akan sikap sebahagian pihak atasan semasa saya berada di tahanan polis Mesir beberapa bulan yang lalu.

Pertama ialah ada seorang warga tempatan Mesir di dalam lokap yang sedang sakit. Mungkin kes gaduh bersenjata. Badan dan kepalanya berlumuran darah.

Satu hari, dia dipanggil oleh seorang pegawai polis untuk dibawa keluar dari lokap. Keluar je dia dari lokap tiba-tiba dia menjerit. Kami yang tengah duduk dalam lokap terus bangun menuju ke tingkap kecil (tingkap berjaring dan ada batang besi) yang ada di pintu besi lokap untuk tengok apa yang berlaku. Hanya itu satu-satunya tempat untuk lihat suasana luar.

Rupanya dia dikasari oleh polis. Dihentak badannya yang sakit ke dinding. Meraung kesakitan. Mungkin darahnya mengalir lagi. Kemudian dia dibawa oleh polis dengan keadaan sakit dan menangis. Sedih melihat dia. Sepatutnya pihak polis perlu jaga kesihatannya. Dia sedang sakit walaupun dia buat jenayah. Tapi apakan daya, kebajikannya sebagai tahanan diabaikan.

Kemudian kedua, selang beberapa hari,  ada satu lagi perkara yang berlaku selepas kejadian di atas. Seorang warga Nigeria tiba-tiba sesak nafas dalam lokap. Seorang kawan arab dalam lokap kami tu pergi ke tingkap kecil untuk panggil polis agar cepat menghubungi pihak hospital. Namun tiada yang menyahut.

Berkali-kali jerit panggil polis. Lama juga panggil polis dan akhirnya barulah polis datang lalu membawa lelaki Nigeria tu ke hospital. Allahu Akbar. Adakah mereka mahu sampai mati baru nak bawa ke hospital? Sedangkan polis lalu lalang. Tapi hanya buat tak tau saja. Astaghfirullah. Mana sifat murni sebagai seorang Islam? Istighfar panjang kami.

Bila teringat dua perkara ini, ia seakan sama dengan apa yang berlaku pada Dr M. Itulah realitinya. Tiada akhlak Islam. Apatah lagi sistem Islam. Sistem Islam wallahu 'alam ada atau tidak dalam sesebuah organisasi negara. Sebagai penjawat awam atau lebih khusus lagi umat Islam tidak sepatutnya mereka boleh berkasar dan menafikan kebajikan buat tahanan. Khusunya warga negara mereka sendiri. Lebih-lebih lagi bagi tahanan seperti Dr M. Jadi tak pelik kalau polis atau tentera di negara Firaun ini bersikap demikian. Kerana pemerintahnya bukan Nabi Musa a.s.

Moga Dr M diberi kesembuhan dan terus kuat menghadapi ujian Allah ini. Kerana ujian ini adalah untuk meningkatkan darjat seseorang hamba yang dicintai Allah SWT.

 Teringat juga perkara yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Ia juga berlaku pada mantan Mursyidul Am gerakan Islam di Mesir yang syahid di dalam penjara pada tahun ini kerana sakit. Sakit yang tidak dapat rawatan dari pihak atasan.

Beliau syahid pada hari yang sama saya keluar dari lokap. Akan tetapi, beliau keluar penjara dalam keadaan roh terpisah dari jasad. Ramai yang sedih kerana hilang satu permata buat gerakan Islam di Mesir. Walau beliau sudah tiada di muka bumi akan tetapi semangat perjuangan beliau tetap hidup dalam diri umat Islam hari ini. SubhanaAllah. Semoga rohnya bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

Jadi, apa yang nak saya tekankan ialah kebajikan buat tahanan. Sepertimana zaman Rasulullah SAW, sewaktu orang kafir Mekah menjadi tahanan orang Islam selepas dari perang Badr. Mereka diberi kebajikan oleh Rasulullah SAW.

Ketika sahabat Rasulullah saw memberikan roti kepada orang kafir Mekah di dalam bilik tahanan untuk makan dan pada masa yang sama sahabat hanya makan kurma sahaja ( waktu tu makan roti lebih untung daripada makan kurma ). Lalu orang kafir Mekah bertanya.

" Kami diberi roti sedangkan kalian (sahabat) hanya makan kurma? ".

Kata sahabat Rasulullah SAW.

" Ini merupakan perintah dari Rasulullah SAW "

Kemudian balas orang kafir Mekah.

" Perintah Rasulullah ini menunjukkan bahawa ia merupakan manusia yang paling baik. Bahkan tidak memerintah untuk mendahulukan diri kalian "

Menunjukkan Islam itu indah. Hatta sebagai tahanan juga, kebajikan perlu dijaga. Makan minum dijaga. Kesihatan dan semuanya. Malah melebihkan diri seseorang tahanan berbanding diri sendiri walau tahanan itu musuh bagi Islam.

Itulah akhlak Rasulullah SAW. Akhlak Islam. Dengan akhlak yang baik, keras menjadi lembut. Batu menjadi permata. Buruk menjadi cantik dan perumpaan-perumpaan lainnya.

Akhirnya, marilah kita doakan agar Islam tertegak di muka bumi ini. Tegakkan syariat Allah SWT di dunia. Bergerak bantu agama Allah SWT dengan apa jua cara yang memberi manfaat pada umat Islam. Kembalikan syariat Islam. Moga kita tersenarai dalam senarai hamba Allah yang mendapat keredhaan dan pertolongan dari Allah SWT. Amiin. InsyaAllah.


Wallahu ‘alam.


Gambar : Screenshoot berkaitan pengkhabaran sakitnya Dr M di laman sosial Instagram

Wednesday, 22 November 2017

Bukti Cinta Terhadap Rasulullah



Rabi'ul Awal merupakan bulan yang menjadi kegembiraan umat Islam. Bulan ketiga dalam kalendar hijrah. Bulan kelahiran baginda agung dan kekasih Allah SWT iaitu Nabi Muhammad, Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, pelbagai program yang dilakukan oleh umat Islam untuk mengingati baginda Rasulullah SAW. Berqasidah dan berselawat kepada junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Usaha yang cukup baik  untuk mengajak umat manusia ingat akan baginda, kekasih agung.

Akan tetapi, adakah kita mengingati baginda Rasulullah SAW hanya dengan selawat dan qasidah sahaja? Tanpa melihat pengorbanan, kesusahan, kesulitan dan semua gerak kerja Rasulullah untuk menegakkan agama Allah Swt ini? Cukupkah bukti yang kita tunjukkan itu sebagai bukti cinta kita kepada nabi SAW?

                “ Aku cinta Rasulullah SAW “

Kebanyakkan orang, lafaz cinta yang diungkapkan itu hanya ungkapan semata-mata di mulut-mulut mereka. Tapi bila diajak untuk membantu masyarakat di luar sana, bermacam alasan yang diberi. Bila diajak membantu gerakan Islam, mengambil langkah berdiam diri dan buat hal sendiri. Tidak peduli akan negara yang sedang sakit dengan rasuah, arak, penipuan, penindasan, kezaliman yang berlaku di bumi Malaysia. Kerana apa? Kerana takut tidak dapat gaji. Takut hilang projek. Takut tak dapat masuk TV. Jualan nanti takda sale sebab ikut sekian-sekian dan sebagainya.

Inilah yang menjadi tanda tanya kepada kita supaya kita berfikir, buka mata, dan muhasabah diri. “ Apakah aku cinta akan Rasulullah? “.

Renung dan lihat, bagaimana kesusahan yang Rasulullah lakukan dalam memperjuangkan agama Allah SWT ini.

Tidak cukup kita memuji baginda Rasulullah dengan berqasidah sahaja, akan tetapi kita tak rasa sepertimana baginda rasa. Tidak rasa bagaimana baginda berjuang menegakkan agama Allah SWT ini.

 Bukanlah coretan ini menunjukkan tanda tidak suka akan qasidah, akan tetapi kita sebagai umat Islam perlu tambah amalan kita dengan melakukan gerak kerja Islam sepertimana baginda lakukan. Sampaikan dakwah kepada umat manusia. Turun ke masyarakat. Lakukan amal kebajikan. Hidup berjemaah. Sumbangkan apa yang kita ada dalam kehidupan kita. Dari sekecil-kecil sumbangan hingga sebesar-besar yang kita mampu.

Ada tenaga, bantu dengan tenaga. Ada harta, bantu dengan harta. Ada tenaga dan harta, bantu dengan tenaga dan harta. Ada masa, bantu dengan masa yang ada.

Infaqkan diri kita kepada Islam. Menjiwai dan merasai pengorbanan baginda dalam menegakkan agama Allah Swt ini dari segala aspek kehidupan kita. Barulah kita benar-benar cinta akan baginda Rasulullah SAW dengan merasai apa yang baginda lakukan.

Moga-moga dengan apa yang kita lakukan itu membuatkan cinta kita semakin bertambah dan ia menjadi bukti cinta serta kasih kita kepada kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

اللهم صلى على محمد وعلى اله وصحبه وسلم



Wallahu 'alam.

Sunday, 19 November 2017

Mahasiswa Spring


Apa yang dimaksudkan dengan spring? Baik. Spring yang saya maksudkan ialah spring lantunan. Yang mana ia mempunyai sifat apabila ditekan semakin mantap dan apabila dilepaskan akan melantun jauh. Seperti inner spring pada tilam.

Itulah realiti mahasiswa Islam pada hari ini.

Sewaktu sekolah diberi didikan dan tarbiah yang cukup baik dari kedua ibubapa dan para guru. Mereka bagai spring yang sedang ditekan. Sedang mantap.

Mereka didedahkan dengan konsep ikhtilat tidak syarie iaitu pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak mengikut syariat Allah Swt. Samada didedah secara sesar ataupun tidak.

Waktu pembelajaran di sekolah, lelaki dan perempuan kena duduk secara asing ataupun kelas asing. Waktu makan, mereka tidak makan satu meja. Waktu bersukan, mereka juga tidak bersama. Sukan secara asing. Semua ada batasnya.

Inilah pembelajaran diri yang kita tidak sedar dengan kewujudannya.

Tanpa sedar kita ditarbiah dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5 hatta tingkatan 6.

Akan tetapi, sebahagian mahasiswa Islam pada hari ni apabila keluar sahaja dari pantauan keluarga dan para guru dan melanjutkan pelajaran ke luar negara, semua didikan dan tarbiah yang mereka lalui itu hilang.

Spring yang ditekan dizaman sekolah kemudian dilepaskan (habis sekolah) terus melantun jauh. Tiada kesan didikan yang terpahat di dalam diri. Semuanya dilanggar.

          Situasi berubah. Tak macam waktu sekolah. Sekarang bila belajar, satu meja. Duduk bersama-sama. Bila makan, satu meja dan sebelah-sebelah antara ikhwah dan akhawat. Gelak ketawa. Bila bersukan, campur ikhwah dan akhawat. Aurat entah kemana.

Jauh. Sangat jauh spring itu melantun pergi.

Rupanya, spring yang ditekan itu hanyalah tekanan di sekolah. Tekanan kerana terpaksa. Sebab takut. Contoh bila couple je. Kena denda. Takut dengan denda sekolah. Tidak takut dengan dosa dan azab Allah Swt.

Sedangkan dalam Islam ada batas pergaulannya antara lelaki dan perempuan. Islam itu tidak keras. Islam itu membenarkan untuk bergaul. Tapi ada batas dan syaratnya. Perlu jaga pandangan.

Firman Allah Swt dalam Surah An-Nur ayat ke-30 :

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Dan antara perkara yang diharuskan untuk bergaul ialah :

1. Pergaulan lelaki dan perempuan dalam keadaan darurat.
2. Pergaulan lelaki dan perempuan bila memerlukan (muamalah, semasa bekerja, dalam kenderaan awam)

Dan hari ini, pihak JAKSI, Perubatan telah mengadakan satu kempen ikhtilat dengan kerjasama HISBAH, Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN).

Oleh sebab itu, saya sebagai seorang mahasiswa Islam menyokong penuh 100% kempen ikhtilat yang dianjurkan oleh pihak JAKSI, perubatan dengan kerjasama pihak HISBAH, BKAN ini. Moga-moga dengan usaha kecil ini mendekatkan diri kita kepada Allah Swt dan mendapat ganjaran pahala dari-Nya untuk bekalan kita diakhirat kelak.

Firman Allah Swt dalam Surah Ali Imran :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya : Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

#JauhiIkhtilatHaram
#MINDYOURGAP


Wallahu 'alam.

Hasnul Hakimi bin Hussien
Usuluddin, Universiti Al-Azhar


Gambar : Semasa rondaan HISBAH di dalam Genena Mall, Rabaah bersama playkad daripada JAKSI berkaitan Kempen Mind Your Gap

Monday, 13 November 2017

Selamat Hari lahir Kesayangan



Selamat hari lahir sayang. Terima kasih kerana banyak mengajar saya selama ini. Banyak yang saya belajar dari awak. Susah senang yang sayang lalui, saya turut sama merasainya. Terima kasih sayang.

Amboi, suka ye bila baca yang atas ni. Rasa nak tau kan apa lah yang saya sedang merepek ni kan. Maaf ye. Ini bukan kisah pencintaan antara lelaki dan perempuan. Ini kisah cinta saya dengan salah sebuah kesatuan Islam yang saya sayangi di Mesir iaitu BKPJM.




Seribu sembilan ratus tujuh puluh (1970) merupakan tahun penubuhan buat kesatuan anak Johor di Mesir dengan nama mulanya ialah Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ) waktu ketika dahulu.

Kemudian, TDPIJ diganti dengan nama Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) pada tarikh 12 November 1982 sewaktu perasmian Asrama Pelajar Johor (APJ) Thamin. Dan pada 12 November 2017 merupakan hari sejarah buat ahli BKPJM untuk menyambut hari ulang tahun bagi BKPJM kali ke-47 dengan disertakan bersama satu program khusus buat para aktivis BKPJM yang dinamakan Himpunan Aktivis dan Sambutan Ulang Tahun BKPJM kali ke-47.

BKPJM merupakan salah satu kesatuan Islam yang berpegang pada dasar Al-Quran dan As-Sunnah. Namun menjadi lumrah bagi kesatuan Islam yang ingin menegakkan Islam ini ditolak dan dipandang rendah oleh kebanyakan orang.

Saya mula dekat dengan kesatuan ini bukanlah kerana ikut-ikut abang-abang lama sekolah saya dulu dan sebagainya. Akan tetapi, saya yakin dan lihat dengan kepala sendiri dengan apa yang dibawa oleh kesatuan ini.

Saya lihat bagaimana kesatuan Islam ini ditimpa musibah. Ahli-ahlinya difitnah dan dilabel dengan bermacam-macam tuduhan tanpa usul periksa dari empunya badan.

Program-program yang dianjurkan tidaklah membawa perasaan ragu-ragu untuk kita hadiri. Malah semuanya bermanfaat. Adab pergaulan dalam majlis dijaga. Tidak bertentangan mata. Ikhtilat yang perlu dijaga.

Perkara-perkara berkaitan yang melanggar syariat Allah SWT, kita akan cegah. Bab ikhtilat tidak syarie, kita tolak. Program anjuran pihak kerajaan yang membawa kepada kemaksiatan, kita bantah. Tidak kira siapa, yang hak tetap disuarakan. Yang salah tetap ditegur dan dibetulkan. Masalah HISBAH, akhawat dan ikhwah berdua-duaan tanpa ada ikatan yang sah. Pergaulan bebas. Jaulah bersama ikhwah akhwat tanpa pantauan orang yang dipercayai iaitu pasangan suami isteri (sepasang suami isteri yang dipercayai akan kefahaman syariat Allah Taala).

Tapi itulah. Menjadi sunnahtullah, perkara yang baik kita lakukan untuk cegah, kita yang disalahkan kembali dan diberi peringatan agar jangan lawan pihak atasan dan sebagainya. Ya. Kerana mereka berkuasa. Tapi kuasa mereka tidak boleh menandingi kuasa Allah Swt.

Kesatuan ini yang ditolak dan tidak disukai oleh orang ramai. Merasakan kesatuan Islam ini mengongkong dan tidak bebas untuk kehidupan mereka. Semua tak bolehm kata mereka. Bila salah, kita tegur. Fikirnya mereka akan faham. Malah lari dari kita. Makin ditegur makin jauh. Allahu Akbar. Sedangkan ia adalah untuk kebaikan mereka juga.

Ada ahlinya yang zakat dihalang. Minta sumbangan tidak dapat dari pihak atasan. Pendaftaran tidak diiktiraf dan banyak lagi ujian dan cabaran yang  dihadapi oleh kesatuan Islam ini.

Oleh sebab itu, dalam kitab Maza Yakni, karangan Sheikh Fathi Yakan ada menyebutkan tentang pemilihan sesebuah penubuhan iaitu 4 perkara :

1. Penubuhan kesatuan itu paling lama.
2. Ahlinya yang paling ramai.
3. Penubuhan untuk mengislah atau membaik pulih kesatuan menjadi lebih baik.
4. Kesatuan yang paling banyak ujian.

Ciri-ciri yang disebutkan itu ada dalam kesatuan BKPJM ini. Kesatuan yang paling lama. Kini sudah mencecah 47 tahun penubuhannya.

Kesatuan yang paling ramai ahlinya. Nombor ahli saya dalam kesatuan BKPJM ini ialah 2351. Bermakna saya ahli yang ke 2351 dalam kesatuan ini.

Penubuhannya untuk membaik pulih mana yang tidak baik kepada lebih baik. Dan akhirnya, kesatuan ini paling banyak ujian. Dari zaman dulu lagi pelbagai ujian yang kesatuan ini hadapi. Sehinggalah ke hari ini. Sewaktu saya duduk dalam kepimpinan ini juga ada satu sejarah hitam yang menimpa kami. Pejabat kami beroperasi dipecah masuk oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Semua barang-barang kami dikeluarkan. Tapi itu mungkin lain kali saya ceritakan atau berjumpa dengan saya sendiri.






Kesatuan ini banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai seorang hamba Allah swt. Sebab itulah, saya sayang akan kesatuan ini. Sakit yang ditimpa BKPJM dan ahlinya, saya akan turut merasinya. Tipulah kalau kesatuan ini tidak ada cacat celanya. Tapi kita janganlah mencacatkannya lagi dengan menubuhkan kesatuan lain. Tegur dan beri muhasabah kepada pihak yang sepatutnya. Beritahu pimpinan apa yang tersilap dan sebagainya. InsyaAllah akan diambil sebagai muhasabah.

Kesatuan ini belajar dari muhasabah. Kalau ahlinya buat silap, beritahu kepada pimpinannya. Insya-Allah pimpinan akan tegur mana yang silapnya. Jangan pukul rata mengatakan BKPJM ini keras dan sebagainya atas sebab kerana ahlinya keras. Semoga memahami.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun buat kesatuan yang saya sayang ini. Semoga ia terus mekar dengan sinar Islam. Terus kuat dan bersabar dengan ujian-ujian yang diberi oleh Allah Taala.


Wallahu ‘alam.


Bergerak, Bantu Dengan Pemberian Allah SWT



Sesiapa sahaja yang memperjuangkan agama Allah Swt dengan hati yang ikhlas pasti akan melalui perjalanan yang jauh untuk mencapai kemenangan. Sememangnya itulah sunnatullah dalam perjuangan Islam. Sepertimana firman Allah Swt dalam Surah At-Taubah ayat ke 42 yang bermaksud :

“ Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, niscaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka…. “

Perjuangan dan dakwah yang kita lakukan janganlah mengharapkan sebarang balasan pun. Jangan kita mengharapkan balasan kewangan untuk berdakwah kecuali pemberian orang atau sudah ketetapan dan perbincangan  bersama ahli mesyuarat untuk memberikan sedikit kewangan perbelanjaannya supaya digunakan wang tersebut untuk berdakwah. Nama lainnya ialah gaji. Dengan duit gaji yang dimiliki, digunakan sedikit untuk keperluan hidup. Keluarga. Mak ayah, isteri, anak-anak dan sedikit lagi untuk kebajikan serta sumbangan-sumbangan bagi menegakkan agama Allah Swt. Sebagai tanda kita bersyukur kepada-Nya.

Oleh itu, tugas kita sebagai seorang hamba Allah Swt janganlah mengganggap bahawasanya tugas dakwah ini hanya ditunggakkan kepada para asatizah atau ulamak-ulamak sahaja. Malah tugas menyebarkan ajaran Islam ini adalah tugas bagi setiap kaum muslimin. Tugas yang mulia. Tapi perlunya ilmu yang sahih dan fikrah yang jernih  daripada ideologi-ideologi barat untuk dipelajari agar selari dengan syariat Allah Swt supaya tidak menyebarkan sebarang perkara-perkara yang bercanggah dan menyongsangkan akidah Islam itu sendiri.

Hari ini ramai orang menganggapnya dakwah itu adalah terpundak kepada orang-orang yang belajar agama. Keadaan dan momokkan dunia yang menyebabkan mereka rasa sebegitu. Itulah dunia sekarang.

Oleh sebab itu, pihak-pihak kerajaan perlu mengambil peranan penting untuk menetengahkan sistem Islam ini. Bermula dari sekolah lagi perlu ditekankan bab-bab agama Islam ini agar mereka faham apa tujuan mereka dijadikan khalifah dimuka bumi Allah ini.

Perlu mewajibkan  setiap subjek agama Islam diambil berat dan mesti lulus dengan cemerlang. Bahkan bukan sahaja cemerlang dalam kertas peperiksaan malah cemerlang akal fikiran dan pengetahuan tentang Islam yang sebenar. Juga tidak mengetepikan subjek-subjek yang lain.

Mewujudkan sistem perbincangan atau usrah yang menjadikan rutin harian bagi pelajar di sekolah. Bukan hanya sekadar meletakkan jadual di papan kenyataan surau tapi gerak kerjanya tiada. Jalankan walaupun hanya 30 minit bersama. Supaya kita dapat mengambil intipati Islam melalui panduan yang ditinggalkan oleh Rasulullah Saw kepada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Ya. Dunia kini memang sangat naif. Malaysia kini kekurangan tenaga untuk memberi penerangan Islam yang sahih. Kerana apa? Kerana kita semua yang tiada kesedaran sebagai seorang khalifah Allah yang ditugaskan meneruskan dakwah dan gerak kerja baginda Rasulullah saw.

Bersyukur kerana kita di Malaysia ada anak muda yang sangat bersemangat untuk berjuang kerana Allah. Tahniah buat mereka. Allah pilih mereka untuk bersama dengan kesatuan Islam.

Namun, semangat yang berkobar-kobar itu perlu ditopupkan dengan usaha dakwah walau dengan apa jua cara dan kelebihan yang kita ada. Mesti kita perlu bergerak. Tak bolehlah kita selesa duduk di kerusi sedangkan sahabat-sahabat kita yang lain berdiri tanpa kerusi. Perlunya bantuan-bantuan dari usaha titik peluh kita juga. Gunakan segala yang kita ada dan mampu untuk kebaikan bersama.

Sekiranya kita mampu untuk berdakwah dengan motosikal. Maka, gunakan motosikal sebagai medan dakwah.

Sekiranya kita mampu berdakwah dengan komputer. Maka, gunakan kelebihan itu untuk agama Allah Swt.

Sungguh rugi bagi orang yang Allah bagi nikmat padanya malah menentangnya pula. Itu yang sedang berlaku pada hari ini. Kelebihan yang ada digunakan untuk melawan Allah Swt. Sedangkan semua nikmat itu milik Allah Swt. Kelak Allah akan tanya kepada jin dan manusia dari nikmat-nikmat itu. Firman Allah Swt :

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تًكَذِّبَانِ
"  Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? “

Oleh itu, terapkan dalam hati dan fikiran kita untuk bersama menegakkan agama Allah Swt. Muhasabah diri kita. Apa yang kita sumbang untuk islam? Adakah kita membiarkan orang lain untuk membuat kerja Islam sedangkan kita hanya menanti kemenangan Islam itu tanpa usaha dari kita? Bukankah itu satu sifat sombong yang sangat perlu kita jauhi.

Moga-moga pengakhiran kita nanti bersama golongan orang yang memperjuangkan agama Allah Swt. Bukan kemenangan yang kita utamakan. Akan tetapi, redha Allah Swt. Usaha dan tawakal kepada Allah Taala. Insya-Allah kita bersama mereka kelak.


Wallahu a’lam.

Friday, 10 November 2017

Ciptaan Allah dan Hidayah-Nya


                Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kita masih lagi diberi nikmat iman dan Islam serta diberi kesempatan kepada kita untuk menghirup udara Allah SWT bagi meneruskan kehidupan kita sehari-hari selaku hamba-Nya yang bersyukur. Juga salam dan sejahtera diberikan kepada junjungan besar kita, baginda Rasulullah SAW. Para keluarga baginda dan para sahabat baginda Rasulullah SAW serta umat-umat yang istiqamah melakukan gerak kerja Islam untuk bekalan di akhirat kelak.

                Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke – 22 yang bermaksud :
“ (Dialah) yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dialah yang menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia hasilkan dengan (hujan) itu buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Kerana itu janganlah kamu mengadakan tandingan-tandingan bagi Allah, padahal kamu mengetahui “.

                Gunung-ganang. Tumbuh-tumbuhan. Haiwan ternakan. Manusia dan sebagainya. Semua yang ada di depan mata kita ialah ciptaan Allah SWT.

                Ciptaan Allah SWT adalah satu bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Menunjukkan hanya Allah yang layak menunjukkan kekuasaan-Nya. Dengan ciptaan-ciptaan Allah itu menjadi wasilah untuk hamba-Nya menerima hidayah Allah SWT.

Banyak cerita dan artikel tentang ahli saintis  yang mengkaji Al-Quran dan melihat ciptaan-ciptaan Allah SWT, kemudian akhirnya mendapat jentikan hidayah dari Allah SWT. Oleh sebab itu, mereka-mereka yang diberi hidayah oleh Allah SWT ini sangat bertuah kerana apabila mereka kembali kepada agama fitrah mereka iaitu Islam, mereka bagaikan sehelai kain putih tanpa ada setitik dakwat hitam dan bagaikan seorang bayi yang baru lahir. Dosa mereka selama ini diampunkan oleh Allah SWT.

Orang yang sebeginilah lebih baik amalannya daripada orang yang sudah lama kenal Islam. Sebab apa? Kerana zaman kita pada hari ini adalah zaman Islam itu dilihat asing oleh masyarakat.
Zaman kini ada manusia yang Islam bertahun-tahun dalam dirinya. Sejak dari lahir. Akan tetapi, Islamnya hanyalah sekadar nama. Hanya sekadar tau dia Islam di dalam Kad Pengenalan Diri  sahaja.

Jadi tak peliklah, zaman sekarang pelbagai musibah dan ujian dari Allah SWT yang diturunkan kepada umat manusia sebagai satu peringatan penting supaya kita mengambil iktibar dan pengajaran agar kita dapat tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Untunglah umat Nabi Muhammad SAW, walaupun bermacam-macam kerosakan yang dilakukan manusia di atas mka bumi Allah ini, Allah masih lagi memberi peluang. Tidak ditimpakan azab sepertimana kaum-kaum dan umat-umat nabi yang terdahulu. Kisah kaum Nabi Luth. Kisah kaum ‘Ad. Kisah kaum Nabi Musa iaitu firaun dan sebagainya.

Namun demikian, perlulah kita ambil ihtimam agar selalu memberi peringatan kepada orang ramai tentang bala Allah SWT, khususnya orang Islam zaman ini untuk sama-sama membantu agama Allah ini. Apabila kita ramai dan bersatu menegakkan kalimah Allah, maka pihak musuh akan rasa gerun dengan kita dan memudahkan agama Islam itu tertegak di muka bumi Allah SWT. Ia pasti akan mengembalikan sinar Islam yang telah lama menghilang.

Kata Allah dalam Al-Quran : “ Pabila kamu bantu agama Allah SWT, Allah pasti akan bantu kamu “.

Itulah janji Allah SWT kepada hambanya yang memberi sumbangan harta dan tenaga semata-mata kerana mahu menegakkan syiar Islam itu tertegak. Malah banyak lagi janji-janji Allah SWT buat hamba-Nya yang bantu agama Allah SWT ini . Kerana Allah SWT itu Maha Kuasa dan Maha Memberi Rezeki.


Wallahu a’lam.

Saturday, 23 September 2017

Kisah 9 Hari Di Lokap Polis Mesir




PERTAMA KALI DI TAHAN POLIS MESIR

Alhamdulillah setelah hampir 9 hari di dalam lokap polis, akhirnya saya dibebaskan. Mulanya pada tanggal 14 September 2017 jam 5.00 petang hinggalah 23 September 2017 pada jam 12.30 pagi. Kes saya adalah kerana tidak mempunyai visa. Kes yang berat sebenarnya. Tapi alhamdulillah, dengan izin Allah SWT kes saya selesai dengan beberapa proses.

Kisahnya bermula saat saya sedang makan di sebuah restoran orang asia di Hayyu Sabiek. Lalu datang seorang pegawai polis masuk ke dalam restoran tersebut dan terus meminta passport kami semua warga 'wafidin' (asing) yang berada di restoran itu.

Kebetulan saya memang tidak ada visa. Jadi, saya kena tahan dan dibawa naik 'tremco' (sebuah van) dan dibawa ke balai polis yang terletak di Hayyu Sadis.

Tiba saja di balai polis, kami ditempatkan disebuah bilik. Kesemuanya warga wafidin (warga asing). Nigeria, Indonesia, Sudan, Russia, Tajikistan, Syria dan lain lagi.

Setelah beberapa jam di dalam bilik tersebut, kami diperiksa seluruh badan dan dibawa ke lokap hampir jam 11 malam. Semua barang elektronik kami diambil dan disimpan. Alhamdulillah, sebelum melangkah keluar dari balai kami dapat semula telefon serta barang-barang lain.

4 LOKAP YANG BERBEZA

Saiz lokap tidaklah begitu besar. Biasa je. Hanya mempunya satu tandas dan kesemua lokap  mempunyai aircond (penghawa dingin). Grand bukan? Huhu. Mungkin begini lokapnya. Atau entahlah. Mungkin bilik tahanan. Wallahu 'alam. Tapi keempat-empat lokap yang saya duduki semuanya berbeza keadaannya.

Pada awalnya saya dimasukkan ke dalam lokap yang kedua. Lokap yang kedua bagi saya adalah lokap yang kedua terbaik kerana keadaan lokap yang sedikit bersih, penghuninya yang baik, ramah dan selalu memberi ruang untuk kami solat berjemaah. Itulah lokap kedua. Cuma penghuninya agak penuh sehingga 39 orang dalam bilik yang saiznya tidak begitu besar itu.

           Dengan bilangan yang terlalu ramai itu, kami terpaksa tidur mengiring dan rapat-rapat. Sangat rapat. Sampaikan tangan dan kaki menjadi kebas semuanya.

Kami tidur bergilir-gilir. Ada yang berdiri dan ada yang duduk untuk tidur kerna ruang yang tidak mencukupi. Ada juga yang punya tempat khusus buat dia seorang. Tidak ada orang lain yang boleh tidur di tempatnya. Barangkali dia ketua atau orang lama didalam lokap tersebut. Jadi kami hanya mengalah dan pasrah dengan keadaan seperti itu. Tidak boleh tidur dan tidur yang tidak cukup.

            Tambahan lagi, dengan suasana bilik yang penuh dengan asap rokok. Satu bilik penuh dengan asap rokok. Saya sudah cuba untuk mengelak daripada hidu tapi masih saja terhidu bau asap rokok. Asyik terbatuk-batuk hingga kini.

Kemudian selang beberapa hari saya berada di lokap kedua, saya dipindahkan ke lokap yang ketiga pada waktu malam, jam 9 lebih. Selepas waktu makan kami.

Lokap yang ketiga saya dipindahkan tidak terlalu lama. Sekejap saja. Suasananya berbeza dari lokap yang kedua. Agak sedikit kotor dan berbau. Penghuninya juga ramai sama seperti lokap yang kedua. 30 keatas. Agak sesak juga. Sampaikan saya terpaksa ambil tempat berdekatan dengan tandas dan ada sedikit sampah. Kerana disitu ada ruang sedikit untuk saya berehat. Tapi alhamdulillah saya dapat menyesuaikan diri. 

Mereka tetap baik dengan saya dengan memberi ruang untuk solat subuh. Cumanya disini saya tak dapat solat berjemaah. Kerna kesemuanya tidak solat walaupun  mereka muslim. Setelah selesai solat subuh. Saya dipindahkan ke lokap yang pertama.

Lokap yang pertama ialah lokap yang sangat terbaik bagi saya. Mereka sangat baik dengan orang wafidin. Mereka anggap kami (wafidin) sebagai keluarganya. Mereka bagi kami minum dan makan. Sangat peramah.

Lokap pertama ni penghuninya sedikit berbeza dengan lokap yang lain. Lokap pertama ni penghuninya sekitar dalam 16 – 25 orang saja. Disini saya agak selesa sedikit. Tenang. Bau asap rokok tetap ada tapi mereka tidak hisap rokok di tempat tidur mereka. Mereka hanya hisap di depan tandas. Itu disiplin bagi mereka.

Tiba waktu makan, kami akan makan secara berjemaah. Apabila waktu ziarah, semua keluarga mereka memberikan makanan yang begitu banyak yang menyebabkan saya terpaksa bagitau kawan saya yang datang ziarah, kalau nak bagi makanan jangan banyak sangat sebab membazir. Kerna terlalu banyak makanan dan banyak lebihan. Akhirnya, lebihan itu mereka akan bagi pada polis yang berada di balai tersebut. Sangat baik.

Tapi saya di lokap pertama sekejap saja dan saya dipindahkan ke lokap keempat. Yang mana,  lokap keempat juga sama seperti lokap ketiga. Alhamdulillah, saya tak lama disana. Sekejap saja di lokap keempat. Cumanya lokap keempat ini bersih seperti yang kedua. Penghuninya saja yang berbeza. Kawan saya warga wafidin dari Indonesia juga turut pindah di lokap keempat. Dia dua hari disitu kalau tak silap saya. Tapi saya sekejap je. Masuk petang, malam dah keluar ke lokap pertama semula. Tapi dia cerita pada saya yang lokap empat itu setengah dari penghuninya semuanya mabuk sehingga menghentakkan badan ke dinding dan bertumbuk-tumbuk  sesama sendiri pada waktu pertengahan malam.

Alhamdulillah saya dikeluarkan dari lokap empat dan dimasukkan semula ke lokap yang pertama hinggalah hari terakhir saya dibebaskan. Syukur Alhamdulillah.


4 PROSES BAGI PELAJAR TIADA VISA

  Kes bagi pelajar yang tidak mempunai visa ini pasti akan melalui 4 proses. Ini apa yang saya perhatikan sepanjang saya berada di dalam lokap dan sering juga bertanya kepada sahabat-sahabat wafidin yang lebih awal masuk ke lokap dari saya.

            Pertama, setelah dua hari kami (warga wafidin) di lokap kami diminta untuk beratur dan disebut nama seorang demi seorang. Waktu tu jam hampir waktu Maghrib. Kami digari tangan dan dibawa ke mahkamah di Hayyu Sabiek. Kami disana tak buat apa-apa. Hanya ambil nama dan ditanya samada passport bersama kami atau tidak. Itu saja. Hatta azan Isyak baru kami dibawa pulang. Solat Maghrib kami terpaksa qada'. Selesai proses pertama.

            Kedua, seperti biasa kami akan diminta beratur dan disebut nama seorang demi seorang. Dan waktu tu jam 9 pagi atau lebih sikit. Kami digari tangan dan dibawa ke Tahrir dengan menaiki sebuah truck polis. Ya. Memang agak panas. Hanya mampu bertahan je. Sampai saja disana, kami diturunkan. Ramai orang. Semua tengok. Kami ini bagaikan seorang pembunuh. Hati berbisik “ Maaf, kami bukan pembunuh. Kami Cuma takda visa je “. Tapi itu hanya bisikan hati kami.

            Disana kami hanya diambil nama dan ditanya samada passport bersama kami atau tidak. Sekali lagi ditanya setelah di mahkamah. Selesai saja ditanya semuanya, passport kami diambil. Dan kami pun pulang ke lokap. Proses kedua pula selesai.

            Ketiga, sama juga seperti pertama dan kedua. Kami diminta beratur dan disebut nama. Kali ini kami akan dibawa ke tempat pengajian bagi mendapatkan pengesahan dari pihak universiti yang mana kami adalah sah pelajar dari Universiti Al-Azhar, Kaherah di Darassah.

            Tapi sedihnya waktu ni, saya dan kawan saya dari Indonesia tidak dibawa ke Universiti Al-Azhar di Darasah. Kami dibawa ke Universiti Al-Azhar, Sadis. Markaz Lughah. Saya pun awalnya tak faham kenapa kami dibawa kesana. Kami bagitau pada polis yang kami belajar di universiti, Darasah tapi dia tetap bawa kami ke Markaz Lughah.

            Jadi kami hanya ikut je. Pihak Markaz ada cek nama saya di markaz. Memang ada. Tapi tahun 2014. Tahun tu memang saya pelajar disitu. Kemudian saya sambung ke kuliah. Saya tunjuk ifadah kuliah saya pada manager markaz tersebut, dia lihat dan dia kata " Nama kau sudah sah pelajar Azhar, jadi apa yang polis mahu?". Saya cuma cakap tak tau.

            Kemudian saya dibawa pulang dengan tiada apa-apa maklumat yang kukuh sebagai seorang pelajar Al-Azhar. Tertangguh satu proses dan terpaksa tangguh hari lain untuk ke Darasah. Mungkin ada hikmah.

            Selang beberapa hari, saya dan kawan saya dari Indonesia dipanggil dan dibawa ke Universiti Al-Azhar di Darasah. Alhamdulillah kali ini betul tempatnya.

            Masuk je dalam universiti, macam biasalah. Semua tengok. Dan macam biasa juga hati berbisik lagi, “ Maaf kami bukan pembunuh “.

            Kami dipertemukan dengan ‘Amid Kuliah dan dibawa ke pejabat untuk pengesahan. Alhamdulillah, nama kami berdua muqayyad di Al-Azhar dan kami pun pulang ke lokap kembali. Selesai proses ketiga.

            Seterusnya, pada 21 September 2017 pada jam 11 malam keatas, kami dibawa ke Ammu Watan atau Ammu Daulah. Ini adalah proses yang terakhir sebelum keluar. Kami tak buat apa-apa pun disana. Cuma tunggu didalam kereta polis hingga selesai.

            Alhamdulillah, jam 1 lebih, 22 September 2017 kami pulang ke lokap semula. Proses keempat selesai.

            Selesai saja di Ammu Watan bermakna esok kami akan keluar. Itu kebiasaan proses bagi pelajar yang tidak ada visa. Ini apa yang saya perhatikan setiap hari demi hari didalam lokap. Jadi begini rupanya step bagi pelajar yang tidak mempunyai visa.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT kami keluar pada jam 12.30 pagi, 23 September 2017.

PENGAKHIRANNYA

Begitulah kisahnya berada di lokap. Tidak ada gangguan atau seksaan yang mengerikan. Hanya suasana yang kurang selesa. Terutamanya asap rokok. Seorang teman di lokap pertama mengingatkan saya, bila keluar dari lokap tersebut kena buat medical check up untuk memastikan kita tidak ada sebarang penyakit atau effect bahaya sepanjang berada dalam lokap. 

Jadi pesan saya ialah hati-hati bila keluar rumah. Passport perlu sentiasa ada walau kemana saja kita pergi. Hatta ke masjid atau kashkun sekalipun.

Teman Sudan saya turut mengikuti proses yang disebutkan diatas. Atas sebab kerana tidak bawa passport keluar rumah. Tapi rupa-rupanya sebab dia tak bawa passport adalah kerana hanya turun untuk membeli makanan di kedai yang terletak dibawah rumahnya. Tapi malangnya ditahan polis dan ikut proses yang berhari-hari. Sedangkan visanya tamat pada bulan Disember. Hanya kerana itu, dia juga terlibat. Kesian dia.

Mungkin ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Moga-moga ia menjadi pengajaran buat kita semua untuk lebih berhati-hati apabila berada di negara orang.

Akhirnya, saya sangat berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan datang ziarah setiap hari walaupun beberapa saat. Khusus buat ibubapa, pihak keluarga, pihak kedutaan Malaysia Cairo dan sahabat-sahabat susah senang saya di Mesir ini. Pengorbanan antum amat saya hargai. Tidak dapat saya balas pengorbanan itu. Hanya Allah saja yang balas. Insya-Allah dilain hari, saya pula diuji untuk lihat kesungguhan sebagai seorang sahabat apabila sahabatnya ditimpa kesusahan.

            Sungguh indah berukhuwah kerana Allah SWT.
Syukur kepada Allah SWT.
Wallahu ‘alam.

....

Hasnul Hakimi bin Hussien
23 September 2017

Tuesday, 6 June 2017

SAYA BUKAN ORANG LAIN

           

        Orang selalu sebut. Cuba kau jadi macam dia. Cuba kau tengok dia. Cuba. Cuba. Cuba dan cuba. Ya! Saya dah cuba. Tapi saya masih tak sempurna seperti dia. Kerana apa? Kerana saya tetap dengan diri saya. Saya tak boleh jadi orang lain. Dan tak boleh nak ikut 100% seperti orang lain. Maaf.

            Saya dah cuba jadi seperti dia. Saya cuba untuk jadi sebiji macam dia. Tapi tetap tiada hasil. Saya tetap saya. Tapi ada satu hal dalam diri saya. Walau saya tak boleh jadi seperti orang lain tapi saya akan contohi seperti orang lain. Mungkin tidak sama seperti orang lain dan mungkin tidaklah semua kelebihan yang semua orang ada, saya perlu contohi semuanya. Yang mana saya rasa saya mampu lakukan dan jadi pedoman untuk diri saya, saya akan ambil.

Dan mungkin juga walau ia amat susah untuk saya contohi dan aplikasikan dalam diri saya, saya akan bawa diri saya dalam satu zon cabaran. Yang mana saya akan cakap dalam diri saya ‘ AKU BOLEH’.

Ya ! Susah untuk jadi seperti orang lain walaupun kadang-kadang parents kita sendiri yang nak kita jadi seperti orang lain. Parents nak kita jadi macam orang lain sebab mereka tau yang mereka nak kan yang terbaik untuk kita. Tapi apakan daya. Kita dah cuba dan masih lagi mencuba. Mencuba untuk mencontohi orang lain. Demi untuk membahagiakan parents dan untuk membanggakan parents kita, kita perlu belajar semua tu.

Mungkin orang lain tak nampak macam mana strungglenya saya untuk belajar mencontohi orang lain. Saya berusaha untuk jadi macam orang lain. Dan mencontohi sifat atau cara orang lain ni memang sangat diperlukan. Sebab kadang-kadang dengan sifat dan cara seseorang itulah yang membuatkan kita bahagia dan tenang. Itu apa yang saya rasa. Walau awalnya susah. Pahit. Tetapi ia manis dan sangat manis bila kita dapat hasilkannya dengan sesuatu yang  baik.


Oleh itu, kita tak perlu nak jadi macam orang lain. Yang kita perlu hanyalah mencontohi orang lain. Sebab itu, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita tak kan sesempurna baginda Rasulullah malah kita contohi dan jadikan contoh itu untuk diri kita dan untuk kebaikan kita semua sebagai umat Rasulullah. Insha-Allah. Wallahu a’lam.

Hasnul Hakimi bin Hussien (H3)
Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir
7 Jun 2017 / 12 Ramadan 1438

Friday, 3 February 2017

PILIHAN


       


Mengapa hari ini ramainya manusia sukar untuk membuat pilihan yang tepat? Mengapa?

       Apabila dua perkara yang menjadi persoalan maka selidik dan pilihlah dengan tepat. Memilih untuk dua perkara hendaklah melalui pilihan berdasarkan mata. Bukan sahaja mata pancaindera malah melalui mata hati juga.

       Memilih ini mestilah dengan pilihan yang betul. Ibaratnya seperti kita menjawab soalan peperiksaan objektif. Jawapan yang diberikan terbahagi kepada empat jawapan. Samada A,B,C dan D. Maka kita mestilah memilih salah satunya untuk kita meraih markah dan ianya pasti betul.

       Begitu juga dalam pemilihan antara dua perkara yang mana salah satunya pasti ada silapnya. Oleh itu, selidik. Kita tengok mana satu antara keduanya yang betul untuk dijadikan sebagai pilihan.

       Sesudah sahaja kita membuat penyelidikan. Kita lihat baik buruknya. Kita lihat mana yang banyak membawa kebaikan. Mana yang bawa keburukan. Akhirnya, kita akan dapat jawapan yang tepat.

        Akan tetapi, menjadi satu bencana yang sangat merugikan kita apabila kita tahu jawapan A itu jawapan yang tepat tetapi kita lebih cenderung kepada jawapan B yang sah-sah salahnya. Ia akan merugikan kita. Bukan sahaja rugi di masa yang singkat malah akan membawa kepada masa yang panjang. Masa depan kita nanti.

         Saya bagi contoh. Ditangan kanan saya ada emas. Ditangan kiri saya ada besi. Saya pun minta seseorang buat pilihan dan pada awalnya dia lihat dengan matanya sendiri yang tangan kanan saya itu emas dan tangan kiri itu besi. Akan tetapi, jawapan yang dipilih oleh orang itu ialah besi. Kenapa memilih besi ? Sedangkan dia tahu yang tangan kanan saya itu emas yang akan membawa kebaikan untuknya. Malangnya mata hati mereka tidak digunakan.

          Perkara ini sudah berlaku sekarang. Mereka tahu yang mereka bersama orang yang salah. Orang yang banyak buat masalah. Tetapi mereka tetap memilih untuk mengikuti orang tersebut. Mereka masih mahu duduk bersama dengan orang sebegitu. Kenapa? Ada kepentingan apa yang membuatkan mereka mahu dan masih mahu duduk bersama orang-orang yang salah. Adakah soal duit? Tak yakinkah Allah itu pemberi rezeki ? Adakah soal jawatan? Tak rasakah Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa ? Kenapa perlu dikejar jawatan tu. Meminta jawatan ini jadi wajib minta jawatan sekiranya kalau bukan kita yang mengisi jawatan itu akan membawa kerosakan di bumi malah untuk Islam.

           Sebagai contoh mudah faham. Ada jawatan Ketua Pencegah Maksiat yang kosong dalam satu kawasan tersebut. Tapi dalam kawasan tu, ada dua orang yang celik pandai. Sorang pandai buat maksiat. Sorang lagi pandai cegah maksiat. Jadi orang yang pandai cegah maksiat yang perlu isi kekosongan jawatan tersebut. Sekiranya jawatan itu diberi kepada orang yang pandai buat maksiat, maka akan rosaklah kawasan tersebut dan rosak agama Islam juga.


           Jadi, akhirnya pilihlah dengan menggunakan mata hati. Buat pilhan yang tepat. Jangan ada rasa bila ada kepentingan untuk diri, sanggup menolak sesuatu yang benar dan ikut yang salah. Itu tak betul. Cuba fikir untuk buat sesuatu pemilihan itu akan menguntungkan Islam. Dan cuba fikir sesuatu tu untuk dapatkan keredhaan Allah SWT. Paling kurang pun fikirlah untuk dapatkan syurga Allah SWT. Untuk dapat pahala. Bolehkan ? Jadi, semoga kita bersama dengan orang-orang yang membawa kebenaran dan masih belum terlambat untuk kita sama-sama perbaiki diri kita dari masa ke semasa. InsyaAllah.

Hasnul Hakimi bin Hussien
3 Februari 2017
10.00 malam