Friday, 10 November 2017

Ciptaan Allah dan Hidayah-Nya


                Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kita masih lagi diberi nikmat iman dan Islam serta diberi kesempatan kepada kita untuk menghirup udara Allah SWT bagi meneruskan kehidupan kita sehari-hari selaku hamba-Nya yang bersyukur. Juga salam dan sejahtera diberikan kepada junjungan besar kita, baginda Rasulullah SAW. Para keluarga baginda dan para sahabat baginda Rasulullah SAW serta umat-umat yang istiqamah melakukan gerak kerja Islam untuk bekalan di akhirat kelak.

                Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke – 22 yang bermaksud :
“ (Dialah) yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dialah yang menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia hasilkan dengan (hujan) itu buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Kerana itu janganlah kamu mengadakan tandingan-tandingan bagi Allah, padahal kamu mengetahui “.

                Gunung-ganang. Tumbuh-tumbuhan. Haiwan ternakan. Manusia dan sebagainya. Semua yang ada di depan mata kita ialah ciptaan Allah SWT.

                Ciptaan Allah SWT adalah satu bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Menunjukkan hanya Allah yang layak menunjukkan kekuasaan-Nya. Dengan ciptaan-ciptaan Allah itu menjadi wasilah untuk hamba-Nya menerima hidayah Allah SWT.

Banyak cerita dan artikel tentang ahli saintis  yang mengkaji Al-Quran dan melihat ciptaan-ciptaan Allah SWT, kemudian akhirnya mendapat jentikan hidayah dari Allah SWT. Oleh sebab itu, mereka-mereka yang diberi hidayah oleh Allah SWT ini sangat bertuah kerana apabila mereka kembali kepada agama fitrah mereka iaitu Islam, mereka bagaikan sehelai kain putih tanpa ada setitik dakwat hitam dan bagaikan seorang bayi yang baru lahir. Dosa mereka selama ini diampunkan oleh Allah SWT.

Orang yang sebeginilah lebih baik amalannya daripada orang yang sudah lama kenal Islam. Sebab apa? Kerana zaman kita pada hari ini adalah zaman Islam itu dilihat asing oleh masyarakat.
Zaman kini ada manusia yang Islam bertahun-tahun dalam dirinya. Sejak dari lahir. Akan tetapi, Islamnya hanyalah sekadar nama. Hanya sekadar tau dia Islam di dalam Kad Pengenalan Diri  sahaja.

Jadi tak peliklah, zaman sekarang pelbagai musibah dan ujian dari Allah SWT yang diturunkan kepada umat manusia sebagai satu peringatan penting supaya kita mengambil iktibar dan pengajaran agar kita dapat tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Untunglah umat Nabi Muhammad SAW, walaupun bermacam-macam kerosakan yang dilakukan manusia di atas mka bumi Allah ini, Allah masih lagi memberi peluang. Tidak ditimpakan azab sepertimana kaum-kaum dan umat-umat nabi yang terdahulu. Kisah kaum Nabi Luth. Kisah kaum ‘Ad. Kisah kaum Nabi Musa iaitu firaun dan sebagainya.

Namun demikian, perlulah kita ambil ihtimam agar selalu memberi peringatan kepada orang ramai tentang bala Allah SWT, khususnya orang Islam zaman ini untuk sama-sama membantu agama Allah ini. Apabila kita ramai dan bersatu menegakkan kalimah Allah, maka pihak musuh akan rasa gerun dengan kita dan memudahkan agama Islam itu tertegak di muka bumi Allah SWT. Ia pasti akan mengembalikan sinar Islam yang telah lama menghilang.

Kata Allah dalam Al-Quran : “ Pabila kamu bantu agama Allah SWT, Allah pasti akan bantu kamu “.

Itulah janji Allah SWT kepada hambanya yang memberi sumbangan harta dan tenaga semata-mata kerana mahu menegakkan syiar Islam itu tertegak. Malah banyak lagi janji-janji Allah SWT buat hamba-Nya yang bantu agama Allah SWT ini . Kerana Allah SWT itu Maha Kuasa dan Maha Memberi Rezeki.


Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment