Thursday, 7 April 2016

Hati Ini Mula Rindu Padamu, Oh Ibu !



Melihat gelagat orang tempatan Mesir membonceng ibunya menaiki motosikal membuatkan diri ini mula rindu pada ibu di Malaysia. Termenung jauh aku  melihat mereka. Ibunya yang sukar berjalan diajak menaiki motosikal untuk membantu ibunya yang sudah tidak berdaya lagi untuk berjalan. Setapak demi setapak langkah kakinya. Tapi inilah yang dikatakan anak yang soleh. Mana mungkin melihat ibunya merasa sakit dan berpayah-payah dalam hidup. Cukuplah ibunya sudah bersusah-susah menjaganya sejak kecil hingga besar. Kini gilirannya pula untuk menjaga ibunya. Sungguh jauh aku termenung melihat mereka hinggalah mereka hilang dari pandangan mataku.

‘Mak’. Itulah panggilan buat ibuku. Aku telefon mak. Saat mesej mak. Tak pernah hati ini tidak sebak. Sebak kerana rindu. Terbayang di fikiran. Aku mahu peluk mak ! Mahu kucup dahi mak. Mahu cium pipi mak. Tak mahu lepas dari pelukan mak. Ya Allah ! Rindunya !

Mata mula melihat kalendar di smartphone. Jari mula scroll atas bawah mencari tarikh untuk pulang. Bila tarikh yang tepat untuk pulang ?

Hati mula rindu pada ibu di Malaysia. Sangat rindu. Mata bagaikan mahu menitis jatuh ke lantai tapi ditahan bagai ada halangan di kelopak mata. Tahan. Jangan menitis. Apatah lagi mengalir ke pipi.

Teringat sewaktu aku di Maahad Johor. Mak dikejutkan dengan sakit kanser. Alhamdulillah. Tidak begitu parah. Tapi mak buat pembedahan. Buang kanser. Waktu tu aku tengah exam STAM. Tamat saja exam, aku terus minta izin ustaz untuk pergi ke hospital melihat mak. Ustaz izinkan. Tamat di Maahad Johor. Aku terus ke hospital. Bergilir-gilir ke hospital dengan kakak. Bergilir-gilir dengan adik. Bergilir-gilir dengan abah untuk jaga mak. Sewa bilik di hospital untuk mudah tengok mak.
Kini, mak semakin sihat. InsyaAllah. Setiap beberapa bulan mak akan ke hospital. Urusan dengan doktor. Dulu aku yang akan bantu abah drive kereta hantar mak ke hospital dari Mersing ke Johor Bahru. 2 jam perjalanan. Tapi sejak aku ke Mesir. Abah yang hantar mak. Sampai abah sakit kaki, abah kuatkan diri untuk hantar mak. Cintanya abah pada mak. Setianya abah pada mak. Inilah cinta yang aku mahu. Disini aku belajar cinta dari abah. Aku belajar pengorbanan dari abah. Terima kasih Allah kurniakan keduanya buatku.

InsyaAllah. Bila balik Malaysia nanti, aku akan pastikan aku bantu mak. Begitu juga abah. Aku mahu jadi anak yang berguna. Berbakti pada kedua ibubapa. Aku mahu mak abah bangga dengan aku walaupun pengorbanan aku sangat kecil.

Saat menulis coretan ini juga hati sebak dan mahu menangis. Ku tahan lagi. Jangan buang air mata disini. Akan aku simpan untuk menangis di bahu mak nanti.  Sungguh ! Hati ini mula rindu padamu, duhai ibu. Wallahu a’lam.

Dari anakmu,

Hasnul Hakimi bin Hussien

3 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih sebab singgah di blog saya..haha..

      Jom balik sekali lim..

      Delete
    2. Terima kasih sebab singgah di blog saya..haha..

      Jom balik sekali lim..

      Delete