ADAT DAN SUNNAH
Dalam
sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda akan muncul di
akhir zaman ini beberapa golongan manusia yang mencampur adukkan dunia dengan
agama mereka. Keadaan ini berlaku pada zaman kita dalam masyarakat kita.
Masyarakat kita pada hari ini kebanyakkannya sangat mementingkan adat sehingga
timbul satu peribahasa ‘ Biar mati anak jangan mati adat ‘. Persoalannya
setakat manakah kepentingan adat itu sendiri. Adat adalah amalan turun temurun
yang diwarisi atau diikuti daripada orang lama. Adat ini bagaikan menjadi satu
kewajiban kepada masyarakat kita pada hari ini. Sebagaimana yang kita faham
bahawasanya adat ini boleh digunakan dan dilakukan selagi mana ia tidak
bersalahan dengan hukum dan syariat Islam.
Yang
menjadi permasalahan dalam masyarakat kita pada hari ini ialah apabila
menyamakan adat dengan agama. Hal ini berlaku kerana kurangnya persefahaman
yang cukup terhadap Islam dalam kehidupan masyarakat kita. Dan akhirnya, kesan
daripada permasalahan tersebut berlakunya kekeliruan dalam masyarakat dimana
akhirnya adat didahulukan daripada sunnah Rasulullah SAW. Contoh untuk hari
ini, didalam satu perkahwinan sedarkah kita pembaziran adalah satu perkara yang
dilarang agama. Wang hantaran yang mahal sehingga mencecah RM20 ribu, RM30 ribu
dan ada juga sehingga RM50 ribu bahkan lebih kerana mengikut adat zaman
sekarang. Sedangkan Islam menggalakkan kesederhanaan dalam kehidupan. Islam juga adalah agama yang mudah dan tidak
menyusahkan penganutnya. Sepertimana dalam hadis Rasulullah SAW yang
diriwayatlkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, mafhumnya :
Maksudnya “
Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya : “ Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda : “ Sesuatu perkara yang aku larang kamu melakukannya,
maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka
hendaklah kamu melakukannya sekadar yang kamu mampu. Sesungguhnya telah
binasalah kaum sebelum kamu lantaran banyak bertanya dan mereka menyalahi para
nabi “.
Kita
harus sedar dan perhatikan masalah ini. Kerana mematuhi adat hanyalah sekadar
didunia sahaja. Dan tidak membawa kepada keredhaan Allah. Mempertahankan adat
ialah perkara yang sia-sia. Ingatlah ketika mana orang kafir menolak Islam
kerana Islam itu bercanggah dengan adat nenek moyang mereka. Jika kita pada
hari ini mempertahankan adat nenek moyang kita walaupun ia bercanggahan dengan
syara’ apakah bezanya kita dan mereka ? Apabila golongan yang alim mempunyai
perangai seperti ini amatlah malang umat pada hari ini. Muaz bin Jabal juga
mengingatkan kepada kita dimana beliau berkata berhati-hati dengan segelintir
orang alim kerana sesungguhnya orang alim itu besar pengaruhnya oleh itu ramai
yang akan mengikut mereka. Ulama merupakan satu entiti yang amat penting dan
peranan yang dimainkan dalam masyarakat amatlah besar. Secara tak langsung
ulama’ akan memberi satu pengaruh yang besar dalam masyarakat.
Akhirnya,
masyarakat kita pada hari ini perlu didedahkan dengan fahaman yang tepat dan
jelas tentang Islam yang sebenar. Perlu beri pencerahan yang baik tentang adat
dan sunnah. Orang-orang yang mempunyai pengaruh yang besar perlu mengajak orang
bawahannya untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Media sosial yang semakin berleluasa perlu digunakan untuk menyebarkan Islam.
Manfaatkan sebaiknya. Wallahu ‘alam.

No comments:
Post a Comment