Tuesday, 23 August 2016

Ujian Disaat Menuju Ke Alam Pernikahan



UJIAN DISAAT MENUJU KE ALAM PERNIKAHAN

Saat meluahkan hasrat hati terhadap seorang wanita yang ingin kita nikahi, saat itulah satu ujian demi satu ujian yang akan kita hadapi. Bagi lelaki ujian melihat wanita lain lebih baik daripada pilihan hati itu sangat mencabar.

Kadang-kadang lepas saja meluahkan hasrat hati, ada saja wanita lain yang cuba mengacau kita. Mula mesej dengan kita. Sedangkan sebelum melamar tidak ada satu orang pun yang berani mesej tanya macam-macam hal yang dikira sebagai hal peribadi. Tapi lepas daripada itu, ada pula.

Baru saja melamar atau merisik bahkan dalam hukum feqh Islam dikira bertunang itu pun diuji dengan ujian seperti itu.

Tidak akan duduk diam buat syaitan untuk membiarkan anak Adam meneruskan perkara baik iaitu pernikahan. Pasti ia akan hasut dan hasut walau apa jua cara sekalipun.

Cemburu melihat bakal suami bersama rakan kerja wanita. Timbul rasa tidak senang hati. Gelisah. Curiga. Semua itu membuatkan syaitan bersuka ria, bergelak ketawa melihat reaksi seperti itu.

Oleh itu, setiap pasangan lelaki mahupun wanita perlu berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik. Hatta kita lihat ada orang lain yang lebih baik dari pilihan kita, maka tenang. Mohon doa pada Allah agar Allah memberikan yang terbaik buat kita.

Semoga niat baik kita ini dirahmati oleh Allah SWT dan dipermudahkan segalanya. Moga apa yang kita rancang selari dengan perancangan Allah Taala. Wallahu a’lam.

Saturday, 6 August 2016

Usrah Medan Tarbiah





USRAH MEDAN TARBIAH

            Pernah suatu ketika dahulu di zaman sekolah, saya pernah tergelincir dalam hubungan antara dua hati. Orang kata couple. 3 tahun bercinta dan akhirnya kami putus. Saya sedih kerana hubungan yang saya cuba pertahankan akhirnya runtuh juga. Jadi saya cuba untuk hilangkan rasa sedih saya. Alhamdulillah. Suatu hari saya mula mengikuti sebuah usrah. Usrah yang mana pembawaannya ialah Al-Quran dan As-Sunnah serta bacaan tafsir, hadis dan sebagainya.

            Pelbagai ilmu yang dapat saya tadah dan kutip daripada usrah tersebut. Ilmu yang membuka hati saya menjadi tenang. Bacaan Al-Quran yang mendayu masuk ke jiwa saya seolah-olah saya ini baru saja mengenal Al-Quran. Itulah kuasa keajaiban yang ada pada Al-Quran. Hati yang tidak tenang menjadi tenang. Hati yang gelap kembali bercahaya.

Ya ! Melalui usrahlah saya mula mengenal tuhan dengan lebih dekat. Perkongsian dan tazkirah yang disampaikan oleh naqib usrah membuatkan saya mula tertarik dan membuka ruang buat hati untuk tahu lebih lagi dan lagi. Kisah-kisah para Rasul dan Nabi serta para sahabat Rasulullah SAW yang dikisahkan kepada saya dan ahli usrah yang lain menjadikan saya semakin tertarik dan minat untuk mendalami kisah-kisah orang yang dekat dirinya pada Allah SWT.

Saya selalu termenung jauh. Ada satu persoalan yang sering bermain dalam akal fikiran saya. Adakah Allah ampunkan dosa saya sepanjang saya bernafas ini ?

Saya membuka satu kitab hadis. Lalu saya menemui satu hadis yang mengisahkan seorang lelaki yang mahu bertaubat dan akhirnya ke syurga Allah SWT. Kisah yang mana seorang lelaki telah membunuh 99 orang dan akhirnya terdetik didalam hatinya untuk bertaubat kepada Allah SWT. Lalu dia pergi bertemu dengan seorang abid (orang yang kuat beribadah). Lelaki itu bertanya kepada abid tersebut adakah diampunkan dosanya oleh Allah SWT kerana telah membunuh 99 orang ? Abid itu menjawab bahawa lelaki ini tidak akan diampunkan dosanya. Kemudian lelaki itu membunuh abid tersebut. Cukup menjadi 100 orang. Lelaki ini meneruskan perjalanan dan bertemu dengan seorang yang ‘alim (orang yang berilmu). Lalu beliau bertanya soalan yang sama kepada orang ‘alim itu. Orang ‘alim itu menjawab. “ Allah boleh ampunkan dosa kamu. Tapi kamu tidak boleh tinggal di daerah kamu ini. Daerah yang membolehkan kamu ingat akan dosa kamu. Kamu hendaklah berhijrah ke suatu tempat lain. Tempat yang baru “.

Lelaki tersebut pun pergi ke tempat yang ingin ditujunya. Maka dengan izin Allah SWT, lelaki tersebut itu mati dipertengahan jalan. Lalu turun dua malaikat iaitu malaikat rahmat dan malaikat azab. Dua malaikat ini berselisih untuk menentukan samada lelaki ini ke syurga atau neraka. Turunlah malaikat Jibril memberi petunjuk supaya mengukur jarak antara negeri yang penuh dosanya dengan tempat yang lelaki ini ingin tuju untuk memohon ampun pada Allah. Akhirnya, jarak ke tempat yang baru lebih sejengkal sahaja daripada negeri gelapnya. Oleh itu, lelaki itu dimasukkan ke syurga Allah SWT.

Kisah ini sebenarnya mengisahkan tentang perbezaan antara abid dan ‘alim. Tetapi dari sudut lain ia membuat saya sedar. Allah itu Maha Pengampun. Sebesar mana pun dosa yang kita lakukan jika Allah berkehendak untuk mengampunkan dosa hamba-Nya maka terampunlah dosanya. Kun fayakun.

Menjadi motivasi yang kuat buat saya dengan kisah-kisah seperti ini. Dimana saya dapatkan ia ? Melalui usrah lah, jawab saya.

Usrah ialah satu medan tarbiah. Bukan hanya tarbiah untuk individu saja. Malah mentarbiah hati-hati ahli usrah unuk menguatkan lagi ukhuwah antara satu sama lain. Tarbiah diri untuk hidup bermasyarakatan. Usrah bukan hanya sekadar membuka kitab sahaja malah usrah juga boleh dilakukan dengan bergotong-royong, berkelah, membuat aktiviti-aktiviti berfaedah dengan ahli usrah. Bermain badminton, futsal, memanah dan sebagainya. Usrah begini akan membuahkan rasa sayang dan semakin minat dalam usrah. Usrah itu  satu anugerah. Ukhuwah itu juga satu anugerah malah satu nikmat yang besar. Maka apabila digabungkan keduanya menjadi satu anugerah yang begitu sangat berharga yang sukar diterjemahkan akal.

Seronoknya usrah ! Sangat seronok. Alhamdulillah saya kini masih tetap dalam usrah. Buat sahabat-sahabat yang baru mula untuk jinak-jinakkan diri dengan usrah. Saya doakan terbaik agar kita sama-sama istiqamah dalam medan tarbiah ini. Kamu hebat ! Kami juga tumpang hebat. Bersama bersatu. Wallahu a'lam.


Thursday, 7 April 2016

Hati Ini Mula Rindu Padamu, Oh Ibu !



Melihat gelagat orang tempatan Mesir membonceng ibunya menaiki motosikal membuatkan diri ini mula rindu pada ibu di Malaysia. Termenung jauh aku  melihat mereka. Ibunya yang sukar berjalan diajak menaiki motosikal untuk membantu ibunya yang sudah tidak berdaya lagi untuk berjalan. Setapak demi setapak langkah kakinya. Tapi inilah yang dikatakan anak yang soleh. Mana mungkin melihat ibunya merasa sakit dan berpayah-payah dalam hidup. Cukuplah ibunya sudah bersusah-susah menjaganya sejak kecil hingga besar. Kini gilirannya pula untuk menjaga ibunya. Sungguh jauh aku termenung melihat mereka hinggalah mereka hilang dari pandangan mataku.

‘Mak’. Itulah panggilan buat ibuku. Aku telefon mak. Saat mesej mak. Tak pernah hati ini tidak sebak. Sebak kerana rindu. Terbayang di fikiran. Aku mahu peluk mak ! Mahu kucup dahi mak. Mahu cium pipi mak. Tak mahu lepas dari pelukan mak. Ya Allah ! Rindunya !

Mata mula melihat kalendar di smartphone. Jari mula scroll atas bawah mencari tarikh untuk pulang. Bila tarikh yang tepat untuk pulang ?

Hati mula rindu pada ibu di Malaysia. Sangat rindu. Mata bagaikan mahu menitis jatuh ke lantai tapi ditahan bagai ada halangan di kelopak mata. Tahan. Jangan menitis. Apatah lagi mengalir ke pipi.

Teringat sewaktu aku di Maahad Johor. Mak dikejutkan dengan sakit kanser. Alhamdulillah. Tidak begitu parah. Tapi mak buat pembedahan. Buang kanser. Waktu tu aku tengah exam STAM. Tamat saja exam, aku terus minta izin ustaz untuk pergi ke hospital melihat mak. Ustaz izinkan. Tamat di Maahad Johor. Aku terus ke hospital. Bergilir-gilir ke hospital dengan kakak. Bergilir-gilir dengan adik. Bergilir-gilir dengan abah untuk jaga mak. Sewa bilik di hospital untuk mudah tengok mak.
Kini, mak semakin sihat. InsyaAllah. Setiap beberapa bulan mak akan ke hospital. Urusan dengan doktor. Dulu aku yang akan bantu abah drive kereta hantar mak ke hospital dari Mersing ke Johor Bahru. 2 jam perjalanan. Tapi sejak aku ke Mesir. Abah yang hantar mak. Sampai abah sakit kaki, abah kuatkan diri untuk hantar mak. Cintanya abah pada mak. Setianya abah pada mak. Inilah cinta yang aku mahu. Disini aku belajar cinta dari abah. Aku belajar pengorbanan dari abah. Terima kasih Allah kurniakan keduanya buatku.

InsyaAllah. Bila balik Malaysia nanti, aku akan pastikan aku bantu mak. Begitu juga abah. Aku mahu jadi anak yang berguna. Berbakti pada kedua ibubapa. Aku mahu mak abah bangga dengan aku walaupun pengorbanan aku sangat kecil.

Saat menulis coretan ini juga hati sebak dan mahu menangis. Ku tahan lagi. Jangan buang air mata disini. Akan aku simpan untuk menangis di bahu mak nanti.  Sungguh ! Hati ini mula rindu padamu, duhai ibu. Wallahu a’lam.

Dari anakmu,

Hasnul Hakimi bin Hussien

Tuesday, 29 March 2016

Adat dan Sunnah

ADAT DAN SUNNAH



                Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda akan muncul di akhir zaman ini beberapa golongan manusia yang mencampur adukkan dunia dengan agama mereka. Keadaan ini berlaku pada zaman kita dalam masyarakat kita. Masyarakat kita pada hari ini kebanyakkannya sangat mementingkan adat sehingga timbul satu peribahasa ‘ Biar mati anak jangan mati adat ‘. Persoalannya setakat manakah kepentingan adat itu sendiri. Adat adalah amalan turun temurun yang diwarisi atau diikuti daripada orang lama. Adat ini bagaikan menjadi satu kewajiban kepada masyarakat kita pada hari ini. Sebagaimana yang kita faham bahawasanya adat ini boleh digunakan dan dilakukan selagi mana ia tidak bersalahan dengan hukum dan syariat Islam.

                Yang menjadi permasalahan dalam masyarakat kita pada hari ini ialah apabila menyamakan adat dengan agama. Hal ini berlaku kerana kurangnya persefahaman yang cukup terhadap Islam dalam kehidupan masyarakat kita. Dan akhirnya, kesan daripada permasalahan tersebut berlakunya kekeliruan dalam masyarakat dimana akhirnya adat didahulukan daripada sunnah Rasulullah SAW. Contoh untuk hari ini, didalam satu perkahwinan sedarkah kita pembaziran adalah satu perkara yang dilarang agama. Wang hantaran yang mahal sehingga mencecah RM20 ribu, RM30 ribu dan ada juga sehingga RM50 ribu bahkan lebih kerana mengikut adat zaman sekarang. Sedangkan Islam menggalakkan kesederhanaan dalam kehidupan.  Islam juga adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan penganutnya. Sepertimana dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatlkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, mafhumnya :

Maksudnya “ Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya : “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “ Sesuatu perkara yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu melakukannya sekadar yang kamu mampu. Sesungguhnya telah binasalah kaum sebelum kamu lantaran banyak bertanya dan mereka menyalahi para nabi “.

                Kita harus sedar dan perhatikan masalah ini. Kerana mematuhi adat hanyalah sekadar didunia sahaja. Dan tidak membawa kepada keredhaan Allah. Mempertahankan adat ialah perkara yang sia-sia. Ingatlah ketika mana orang kafir menolak Islam kerana Islam itu bercanggah dengan adat nenek moyang mereka. Jika kita pada hari ini mempertahankan adat nenek moyang kita walaupun ia bercanggahan dengan syara’ apakah bezanya kita dan mereka ? Apabila golongan yang alim mempunyai perangai seperti ini amatlah malang umat pada hari ini. Muaz bin Jabal juga mengingatkan kepada kita dimana beliau berkata berhati-hati dengan segelintir orang alim kerana sesungguhnya orang alim itu besar pengaruhnya oleh itu ramai yang akan mengikut mereka. Ulama merupakan satu entiti yang amat penting dan peranan yang dimainkan dalam masyarakat amatlah besar. Secara tak langsung ulama’ akan memberi satu pengaruh yang besar dalam masyarakat.


                Akhirnya, masyarakat kita pada hari ini perlu didedahkan dengan fahaman yang tepat dan jelas tentang Islam yang sebenar. Perlu beri pencerahan yang baik tentang adat dan sunnah. Orang-orang yang mempunyai pengaruh yang besar perlu mengajak orang bawahannya untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Media sosial yang semakin berleluasa perlu digunakan untuk menyebarkan Islam. Manfaatkan sebaiknya. Wallahu ‘alam.