Sunday, 31 May 2015

15 Sya'ban : Berlakunya Pertukaran Kiblat



     Kali ini kita akan menceritakan tentang 15 Sya’ban atau nama familiarnya ialah Nifsu Sya’ban. Apa yang berlaku pada tarikh tersebut ? Peristiwa apakah agaknya ye ? Baik. Mari kita bincangkan.

                Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 142 :

Maksudnya “ Orang-orang bodoh ( yang kurang berakal pertimbangannya ) akan berkata : “ Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini ? “Katakanlah (Wahai Muhammad) : “ Timur dan barat adalah kepunyaan Allah ( maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya ); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus “.

Satu mukjizat Rasulullah sallahu alaihi wasalam di 15 Sya’ban ini ialah peristiwa pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis ditukarkan ke Kaabah, Masjidil Haram. Yang mana sebelum pertukaran kiblat ini umat Islam ketika itu mengadap kiblat ke arah Baitul Maqdis, Palestin pada tahun ke-8 Hijriah. Pertukaran tersebut dimaksudkan untuk melembutkan hati orang-orang Yahudi dan untuk menarik mereka kepada syariat Al-Quran dan Islam (agama tauhid) ini. 

Tetapi setelah 16-17 bulan umat Islam mengadap kiblat ke arah Baitul Maqdis ternyata harapan Rasulullah tidak dipenuhi. Orang-orang Yahudi di Madinah berpaling dari ajakan baginda, bahkan mereka merintangi Islamisasi yang dilakukan Nabi Muhammad dan mereka telah bersepakat untuk menyakitinya. Oleh kerana itu, Rasulullah sallahu alaihi wasalam berulang kali berdoa memohon kepada Allah s.w.t. agar dibenarkan tukar  kiblat solat dari Baitul Maqdis ke Kaabah selepas Baginda mendengar ejekan orang Yahudi yang mengatakan :

“ Muhammad menyalahi agama kita tapi mengikuti kiblat kita. Apakah yang memalingkan Muhammad dan para pengikutnya dari kiblat (Kaabah) yang selama ini mereka gunakan ? “

Ejekan itu di jawab oleh Allah melalui firmanNya yang kita sebut diatas (Surah Al-Baqarah ayat 142 ) dan disambung dengan ayat ke 143.

Seterusnya Allah memperkenankan permohonan Rasulullah agar menukarkan kiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Kaabah, Masjidil Haram. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 144 :

Maksudnya “ Sering Kami (Allah) melihat kamu ( Wahai Muhammad ) berulang kali menadah ke langit, maka Kami benarkan kamu berpaling mengadap kiblat yang kamu sukai. Oleh itu, halakan mukamu ke arah Masjidil Haram ( tempat letaknya Kaabah ); Dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya. Sesungguhnya orang ( Yahudi dan Nasrani ) yang diberikan Al-Kitab ( Taurat dan Injil ), mereka mengetahui bahawa perkara ( berkiblat ke Kaabah ) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka dan Allah tidak sesekali lalai akan apa yang mereka lakukan “

Begitulah peristiwa pertukaran kiblat berlaku. Ia berlaku pada 15 Sya’ban. Hari yang sangat penting buat pengetahuan kita sebagai umat Islam. Sebelum kita akhiri perkongsian ini, ada beberapa yang dapat kita kongsi iaitu perbanyakkan amalan baik pada malam nifsu Sya’ban. Apa-apa jua amalan baik. Perbanyakkan selawat, menunaikan solat malam dan pelbagai lagi. Semoga amalan yang kita lakukan itu diredhai dan dirahmati Allah s.w.t. Wallahu ‘alam.

Hasnul Hakimi bin Hussien
Kaherah, Mesir

No comments:

Post a Comment