Firman Allah SWT ayat ke 30 :
قُل لِّلۡمُؤۡمِنِینَ یَغُضُّوا۟ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَیَحۡفَظُوا۟ فُرُوجَهُمۡۚ ذَ ٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا یَصۡنَعُونَ
Maksudnya : Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka.
Ayat seterusnya. Firman Allah SWT ayat ke 31 :
وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ یَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَیَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا یُبۡدِینَ زِینَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡیَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُیُوبِهِنَّۖ وَلَا یُبۡدِینَ زِینَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَاۤىِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَاۤءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَاۤىِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَاۤءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَ ٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِیۤ إِخۡوَ ٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِیۤ أَخَوَ ٰتِهِنَّ أَوۡ نِسَاۤىِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَیۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِینَ غَیۡرِ أُو۟لِی ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِینَ لَمۡ یَظۡهَرُوا۟ عَلَىٰ عَوۡرَ ٰتِ ٱلنِّسَاۤءِۖ وَلَا یَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِیُعۡلَمَ مَا یُخۡفِینَ مِن زِینَتِهِنَّۚ وَتُوبُوۤا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِیعًا أَیُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Maksudnya : Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Seorang muslim mestilah menutup pintu pandangannya daripada segala perkara-perkara yang dilarangkan dan diharamkan oleh Allah SWT kerana pandangan itu akan menimbulkan nafsu syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke dalam maksiat dan dosa terhadap Allah SWT.
Oleh itu, al-Quran telah memberi amaran tentang pandangan yang tidak memberi faedah apa pun sepertimana firman-Nya diatas pada ayat ke 30 & 31 Surah an-Nur.
Begitu juga sabda baginda Nabi Muhammad SAW :
عن أبي أمامة : عن رسول الله صلى الله عليه وسلم : لتغضن أبصاركم ولتحفظن فروجكم ولتقيمن وجوهكم أو لتسكسف وجوهكم
Maksudnya : Abu Umamah Radianllahu ‘anhu meriwayatkan daripada Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasalam, “Hendaklah kamu menahan pandangan kamu dan menjaga kehormatan kamu atau Allah menelungkupkan muka kamu”. – Hadis Riwayat al-Tabrani
Zaman hari ini zaman yang penuh dengan segala fitnah. Walaupun seseorang itu tidak bertemu secara berdepan antara lelaki dan perempuan, akan tetapi bagaimana dengan senda gurau, gelak tawa dan sebagainya diantara lelaki dan perempuan tanpa batasan di laman sosial?
Ya memang benar apa yang mereka cuba hujahkan. Katanya, mereka tidak bersentuh pun. Mereka tidak melakukan perkara yang buruk. Bahkan mereka hanya chat, mesej, berbalas komen dan sebagainya kerana mereka adalah kenalan lama.
Tidak salah untuk menjalinkan hubungan silaturrahim. Malah Islam menganjurkan agar kita sentiasa mengeratkan silaturrahim.
Tapi adakah perlu ditempat umum sehingga menimbulkan fitnah pada agama? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengaji agama. Mereka yang siang pagi dan petang berselawat kepada baginda nabi. Mereka yang sentiasa membawa imej baginda dengan berjubah, berserban dan sebagainya. Tetapi tidak menundukkan pandangan mereka. Malah diumumkan dan bangga dengan apa yang mereka lakukan.
Inilah fitnah bagi orang-orang Islam. Mereka bagaikan menglemparkan ‘boom’ pada seluruh umat Islam lainnya.
Ubahlah. Sama-sama kita ubah. Jangan rosakkan imej baginda nabi. Jangan rosakkan kehormatan wanita. Jangan jadikan budaya dahulu, budaya zaman jahiliah dulu sebagai budaya biasa. Sehingga menyebabkan masyarakat diluar sana melihat perkara gelak tawa, gurau senda itu satu kebiasaan. Itulah yang dipanggil sebagai ‘Normalisasi dosa.
Seorang muslim lelaki mahupun perempuan mestilah bersifat malu dalam semua keadaan. Akan tetapi sifat malunya itu tidak menghalangnya daripada memperkatakan kebenaran. Termasuk juga dalam pengertian malu itu perbuatan menahan pandangan, ringan tulang, tidak meninggikan suara, berpada dengan apa yang ada setelah diusahakan.
Sepertimana sabda baginda Rasulullah SAW :
عن أبي هريرة قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الإيمان بضع وسبعون أو بضع وستون شعبة فأفضلها قول لا إله إلا الله وأدناها إماطة الأذى عن الطريق والحياء شعبة من الإيمان
Maksudnya : Iman itu lebih dari tujuh puluh atau lebih dari enam puluh cabang, yang paling utama ialah kalimah La Ilaha Illah dan yang paling rendah ialah membuat sesuatu yang boleh menyakitkan dari jalan dan malu itu satu cabang dari iman”. – Hadis Riwayat Muslim.
Jadilah diri kita ini sebagai qudwah hasanah atau contoh yang baik kepada ahli keluarga kita, sahabat kita, masyarakat sekeliling kita bahkan seluruh umat Islam. Tunjukkan akhlak yang baik selaku seorang muslim. Insya-Allah, mudah-mudahan ia mendapat ganjaran yang setimpalnya atas kebaikan yang kita lakukan.
Wallahu a’lam bisowab.
Catatan Zohor
12 April 2020
Hasnul Hakimi bin Hussien
Kaherah, Mesir
No comments:
Post a Comment