Saturday, 2 December 2017

Patah Hati, Rawatlah Dia



                Ada insan yang bertuah, tidak pernah ada kisah cinta yang tidak syarie. Orangnya tidak pernah terlibat dengan dunia couple. Dia ialah insan yang terbaik dan terus menjadi yang terbaik. InsyaAllah.

                Ada juga insan yang kurang bertuah. Awalnya tidak pernah bercintan-cintun. Baik orangnya. Jaga pergaulan. Akan tetapi, sejak masuk ke dunia masyarakat yang sebenar, mereka mula terdedah dengan pergaulan bebas sehingga tidak dapat mengawal perasaan dan nafsu. Akhirnya, dia berjinak-jinak dengan dunia couple. Nauzubillah.

                Dan ada juga insan yang sangat bertuah kerana memiliki petunjuk dari Allah SWT. Sejak zaman sekolah rendah lagi sudah bermain dengan cinta. Kemudian bawa ke sekolah menengah. Terus dengan mainan perasaan. Bila suka seseorang, mudah jatuh hati dan couple. Tetapi, akhirnya dia kecewa dengan cinta. Dipermainkan. Lalu mengambil langkah untuk meninggalkan dunia cinta manusia dan cuba kejar cinta Allah. Dari seorang tidak baik kepada yang lebih baik.

                Bila kita jatuh, kita akan sakit. Sakit yang hanya sementara sahaja. Bila kita ubat luka tu, maka perlahan-lahan luka itu akan sembuh.

                Inilah yang berlaku dalam sejarah hidup saya. Beberapa tahun yang lalu. Saya dikecewakan dengan cinta. Sakit. Tapi alhamdulillah, saya ubat tempat yang saya sakit itu. Perlahan-lahan ia hilang. Bila teringat akan rasa sakit tu, cepat-cepat saya sapukan ubat, agar sakit itu pergi dari benak fikiran saya.

                Bermacam-macam ubat yang saya gunakan untuk hilangkan luka tu. Walaupun ia sudah disembuhkan, kesannya masih ada untuk kita sentiasa positif dalam hidup.

                Pertama, saya guna ubat usrah. Waktu tu mula-mula kecewa cinta. Lalu saya ambil ubat dengan usrah, saya dapat hilangkan rasa sakit tu. Saya ikut abah saya pergi usrah. Caranya, kita jangan datang usrah dengan tangan kosong. Kita perlu bawa pen dan buku kosong. Disertakan dengan Al-Quran dan bahan bacaan lain. Sebagai contoh usrah yang saya ikuti bermanhajkan Al-Quran dan beberapa tafsir antaranya ialah Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran dan Tafsir Hamka.

                Jadi bila nak usrah, saya akan study dulu ayat-ayat Quran yang akan dibincangkan dalam usrah nanti. Buat persediaan awal. Bila waktu usrah, apa yang dikongsikan oleh ahli usrah, saya akan  salin dalam buku kosong yang kita bawa. Dan kadang-kadang saya pula memberi sedikit perkongsian.

                Oleh sebab itu, dengan usrah, kepala saya ni tidak lagi memikirkan soal kekecewaan tersebut. Tenang. Saya akan mula fikir untuk pengisian bagi usrah yang akan datang pula.

                Hingga kini, saya gunakan cara ini untuk menenangkan fikiran daripada memikirkan soal perkara yang tidak berfaedah. Bukan hanya pada masalah cinta je saya gunakan ubat usrah ni, masalah lain yang menggangu ketenangan diri juga memerlukan ubat ini. Usrah ni perlu diteruskan. Kerana ia medan tarbiah diri saya. Mengajar saya macam-macam hal. Lebih-lebih lagi bila saya akan berhadapan dengan masyarakat bila di Malaysia nanti.

                Kedua, saya menggunakan ubat penulisan. Selepas luka yang sakit itu sudah mula semakin sembuh, maka saya mengambil langkah menulis. Menulis apa yang saya rasa tak betul sewaktu couple dulu. Saya tulis cerpen tentang anak yang tidak dengar kata mak ayahnya. Saya tulis berkaitan mencari cinta yang halal. Saya menulis berkaitan akibat buruk bercinta sebelum nikah dan macam-macam lagi. Saya mula bina rasa minat menulis dengan niat waktu tu untuk menghilangkan rasa sakit tersebut.

                Alhamdulillah, hingga hari ini saya minat menulis. Insya-Allah kini niatnya kerana Allah SWT. Cumanya penulisan saya tidak berapa cantik. Saya pun belum pernah masuk mana-mana kursus penulisan. Mungkin bila ada rezeki nanti, saya nak masuk kursus penulisan bagi menambahkan lagi skill dalam penulisan saya. Insya-Allah.

                Seterusnya, ubat ketiga yang saya gunakan ialah menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang berfaedah. Bila sakit sudah sembuh, lukanya itu pasti meninggalkan kesannya. Namun demikian, kita kena terus merawatnya. Oleh itu, saya mula libatkan diri dengan berpersatuan.

                Saya mula buat amal kebajikan. Bantu orang dari segenap aspek kemampuan yang saya ada. Dan saya ni jenis yang suka dengar masalah orang dan cuba untuk beri penyelesaian dari masalah tersebut. Jadi, nanti otak kita akan bergerak. Berfikir untuk menyelesaikan masalah. Dari situ saya tidak akan fikir bab-bab cinta tu semua melainkan masalah orang tentang cinta. Baru saya akan fikir bab cinta. Tapi memikirkan jalan mengikut jalan yang betul, dengan menasihati agar cari cinta lepas nikah, atau sebagainya mengikut kepada siapa dan situasi kehidupannya.

                Kadang-kadang bila fikir, benda yang silam berlaku pada kita tu menjadi motivasi untuk kita sendiri supaya kita bangun dari tidur dan terus bangkit mencari keredhaan Allah SWT. Bahkan ia untuk orang lain juga. Biar kita yang rasa sakit bila kecewa, asalkan bukan orang lain yang sakit. Dan setia perkara yang membawa kebaikan pada orang ramai, kita kena teruskan. Kerana saya percaya, setiap perkara baik yang kita lakukan, akan di balas oleh Allah SWT dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Insya-Allah.

                Ubat yang keempat dan terakhir dalam penulisan ni ialah ubat dengan berusaha mendapatkan keampunan dari Allah SWT. Ubat ini perlu dibuat setiap hari. Setiap kali lepas solat 5 waktu, istighfar dan kenanglah dosa-dosa yang telah kita lakukan. Timbulkan rasa benci dengan dosa yang kita dah buat. Kalau boleh menangis, menangislah. Jangan pernah putus memohon ampun kepada Allah SWT. Kerana kita kena yakin, Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

                Kesimpulannya, sebagai seorang insan yang patah hati, carilah ubat yang sesuai dengan diri anda. Jangan sia-siakan hidup yang masih ada guna dan manfaatnya untuk Islam. Mungkin empat ubat di atas ialah ubat yang saya pilih untuk merawat. Mungkin anda berbeza ubatnya. Mengikut situasi anda. Oleh itu, carilah dan kalau boleh tinggalkan perkara yang menggangu fikiran. Tak usah difikirkan. Lebih baik fikirkan perkara yang lebih besar lagi sebagai contoh ‘ bagaimana kita nak kembalikan sinar Islam di dunia dengan menggunakan tubuh badan kita ‘. Jadikan ia persoalan setiap hari bila bangun. Itu lebih baik.

                Moga kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi ujian-ujian hidup ini dan mendapat keampunan dari Allah SWT. Insya-Allah. Amiin.


Wallahu ‘alam.

Friday, 1 December 2017

Kebajikan Buat Tahanan



Sedang scroll di laman sosial Instagram, saya lihat satu pengkhabaran tentang kesihatan pemimpin gerakan Islam di Mesir iaitu Dr M. Melihat pengkhabaran tentang penyakitnya dan terpaksa membiayai sendiri sakitnya itu membuatkan saya teringat akan sikap sebahagian pihak atasan semasa saya berada di tahanan polis Mesir beberapa bulan yang lalu.

Pertama ialah ada seorang warga tempatan Mesir di dalam lokap yang sedang sakit. Mungkin kes gaduh bersenjata. Badan dan kepalanya berlumuran darah.

Satu hari, dia dipanggil oleh seorang pegawai polis untuk dibawa keluar dari lokap. Keluar je dia dari lokap tiba-tiba dia menjerit. Kami yang tengah duduk dalam lokap terus bangun menuju ke tingkap kecil (tingkap berjaring dan ada batang besi) yang ada di pintu besi lokap untuk tengok apa yang berlaku. Hanya itu satu-satunya tempat untuk lihat suasana luar.

Rupanya dia dikasari oleh polis. Dihentak badannya yang sakit ke dinding. Meraung kesakitan. Mungkin darahnya mengalir lagi. Kemudian dia dibawa oleh polis dengan keadaan sakit dan menangis. Sedih melihat dia. Sepatutnya pihak polis perlu jaga kesihatannya. Dia sedang sakit walaupun dia buat jenayah. Tapi apakan daya, kebajikannya sebagai tahanan diabaikan.

Kemudian kedua, selang beberapa hari,  ada satu lagi perkara yang berlaku selepas kejadian di atas. Seorang warga Nigeria tiba-tiba sesak nafas dalam lokap. Seorang kawan arab dalam lokap kami tu pergi ke tingkap kecil untuk panggil polis agar cepat menghubungi pihak hospital. Namun tiada yang menyahut.

Berkali-kali jerit panggil polis. Lama juga panggil polis dan akhirnya barulah polis datang lalu membawa lelaki Nigeria tu ke hospital. Allahu Akbar. Adakah mereka mahu sampai mati baru nak bawa ke hospital? Sedangkan polis lalu lalang. Tapi hanya buat tak tau saja. Astaghfirullah. Mana sifat murni sebagai seorang Islam? Istighfar panjang kami.

Bila teringat dua perkara ini, ia seakan sama dengan apa yang berlaku pada Dr M. Itulah realitinya. Tiada akhlak Islam. Apatah lagi sistem Islam. Sistem Islam wallahu 'alam ada atau tidak dalam sesebuah organisasi negara. Sebagai penjawat awam atau lebih khusus lagi umat Islam tidak sepatutnya mereka boleh berkasar dan menafikan kebajikan buat tahanan. Khusunya warga negara mereka sendiri. Lebih-lebih lagi bagi tahanan seperti Dr M. Jadi tak pelik kalau polis atau tentera di negara Firaun ini bersikap demikian. Kerana pemerintahnya bukan Nabi Musa a.s.

Moga Dr M diberi kesembuhan dan terus kuat menghadapi ujian Allah ini. Kerana ujian ini adalah untuk meningkatkan darjat seseorang hamba yang dicintai Allah SWT.

 Teringat juga perkara yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Ia juga berlaku pada mantan Mursyidul Am gerakan Islam di Mesir yang syahid di dalam penjara pada tahun ini kerana sakit. Sakit yang tidak dapat rawatan dari pihak atasan.

Beliau syahid pada hari yang sama saya keluar dari lokap. Akan tetapi, beliau keluar penjara dalam keadaan roh terpisah dari jasad. Ramai yang sedih kerana hilang satu permata buat gerakan Islam di Mesir. Walau beliau sudah tiada di muka bumi akan tetapi semangat perjuangan beliau tetap hidup dalam diri umat Islam hari ini. SubhanaAllah. Semoga rohnya bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

Jadi, apa yang nak saya tekankan ialah kebajikan buat tahanan. Sepertimana zaman Rasulullah SAW, sewaktu orang kafir Mekah menjadi tahanan orang Islam selepas dari perang Badr. Mereka diberi kebajikan oleh Rasulullah SAW.

Ketika sahabat Rasulullah saw memberikan roti kepada orang kafir Mekah di dalam bilik tahanan untuk makan dan pada masa yang sama sahabat hanya makan kurma sahaja ( waktu tu makan roti lebih untung daripada makan kurma ). Lalu orang kafir Mekah bertanya.

" Kami diberi roti sedangkan kalian (sahabat) hanya makan kurma? ".

Kata sahabat Rasulullah SAW.

" Ini merupakan perintah dari Rasulullah SAW "

Kemudian balas orang kafir Mekah.

" Perintah Rasulullah ini menunjukkan bahawa ia merupakan manusia yang paling baik. Bahkan tidak memerintah untuk mendahulukan diri kalian "

Menunjukkan Islam itu indah. Hatta sebagai tahanan juga, kebajikan perlu dijaga. Makan minum dijaga. Kesihatan dan semuanya. Malah melebihkan diri seseorang tahanan berbanding diri sendiri walau tahanan itu musuh bagi Islam.

Itulah akhlak Rasulullah SAW. Akhlak Islam. Dengan akhlak yang baik, keras menjadi lembut. Batu menjadi permata. Buruk menjadi cantik dan perumpaan-perumpaan lainnya.

Akhirnya, marilah kita doakan agar Islam tertegak di muka bumi ini. Tegakkan syariat Allah SWT di dunia. Bergerak bantu agama Allah SWT dengan apa jua cara yang memberi manfaat pada umat Islam. Kembalikan syariat Islam. Moga kita tersenarai dalam senarai hamba Allah yang mendapat keredhaan dan pertolongan dari Allah SWT. Amiin. InsyaAllah.


Wallahu ‘alam.


Gambar : Screenshoot berkaitan pengkhabaran sakitnya Dr M di laman sosial Instagram