Hari
berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Tahun berganti
tahun. Sang Pendosa masih tetap melakukan dosa. Masih saja melakukan maksiat.
Tidak ada takut pada Allah. Tidak risau akan azab Allah. Merasakan dirinya bisa
hidup lama di dunia ini. Merasakan dunia ini miliknya. Bahkan ia seolah-olah
lupa akan Penciptanya kerana asyik akan dunia yang dipenuhi dengan dosa dan
maksiat. Ia lupa akan itu. Namun, Allah itu tidak menghukum dan mengazab
manusia ciptaanNya dengan sekelip mata meskipun itu sangat mudah bagi Allah.
Tetapi sifat penyayang dan pengampunanNya itu lebih besar dari sifat menghukum
itu.
Suatu
malam yang sunyi, Sang Pendosa jalan terhuyung-hayang seperti seorang yang
mabuk. Akhirnya ia terduduk bersebelahan dengan kolam ikan. Akhirnya ia
tertidur disitu. Malam itu ia bermimpi berada didalam satu masjid yang ada
didalamnya majlis ilmu. Ia lihat ramai sekali manusia yang datang berpusu-pusu
ke tempat majlis ilmu itu. Saat penceramah ingin memulakan bicaranya tiba-tiba
Sang Pendosa ini terjaga dari tidurnya. Hatinya bagaikan terusik dengan mimpi
itu. Tenang rasanya. Seperti tiada masalah yang menimpanya.
Selepas
mimpi itu, ia berkeinginan besar untuk pergi satu majlis ilmu yang berdekatan.
Dengan takdir Allah, keinginannya itu dimakbulkan Allah. Ia menghadirkan
dirinya ke majlis ilmu di masjid berdekatan dengan kolam ikan itu. Ia pun
dengar satu persatu kata-kata yang disampaikan oleh penceramah hingga tamat
majlis ilmu itu. Mungkin tidak semua yang ia ingat dari majlis ilmu itu. Tapi
ada satu ayat yang ia ingat setelah keluar dari majlis ilmu itu.
“ Kalian ini sangat beruntung. Ramai manusia diluar sana tidak ada kesempatan
bersama kita tapi Allah memilih kalian untuk sama-sama duduk dan hadir dimajlis
ilmu ini. Duduk dalam majlis yang dibentangkan dibawahnya sayap-sayap malaikat
buat pencinta ilmu. Tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan dan segala macam makhluk
ciptaan Allah sentiasa berzikir dan mendoakan kalian. Beruntung sekali ! “.
Kemudian
Sang Pendosa melihat ikan-ikan di kolam. Ia mula bermonolog sendirian.
“ Duhai ikan, saat aku melangkahkan kaki ke majlis ilmu
tadi, mulutmu itu pasti tidak lekang menyebut zikrullah dan mendoakanku. Tetapi bila aku fikir saat aku mabuk dikolam ini
dahulu, aku mula terfikir, adakah mulutmu itu tidak lekang memaki dan menghina
aku ? Atau kau mendoakan aku untuk berubah ? “.
“ Aku kini bersyukur kepada Ilahi kerna memberi ruang dan
peluang pada hidupku untuk berubah menjadi baik “.
Maka
bermulalah kisah Sang Pendosa dengan amal kebaikannya. Itulah nama kisah ini
iaitu ‘ Keinsafan Sang Pendosa ‘.
:: Ciptaan Khalifah ::
No comments:
Post a Comment