Tuesday, 29 March 2016

Adat dan Sunnah

ADAT DAN SUNNAH



                Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda akan muncul di akhir zaman ini beberapa golongan manusia yang mencampur adukkan dunia dengan agama mereka. Keadaan ini berlaku pada zaman kita dalam masyarakat kita. Masyarakat kita pada hari ini kebanyakkannya sangat mementingkan adat sehingga timbul satu peribahasa ‘ Biar mati anak jangan mati adat ‘. Persoalannya setakat manakah kepentingan adat itu sendiri. Adat adalah amalan turun temurun yang diwarisi atau diikuti daripada orang lama. Adat ini bagaikan menjadi satu kewajiban kepada masyarakat kita pada hari ini. Sebagaimana yang kita faham bahawasanya adat ini boleh digunakan dan dilakukan selagi mana ia tidak bersalahan dengan hukum dan syariat Islam.

                Yang menjadi permasalahan dalam masyarakat kita pada hari ini ialah apabila menyamakan adat dengan agama. Hal ini berlaku kerana kurangnya persefahaman yang cukup terhadap Islam dalam kehidupan masyarakat kita. Dan akhirnya, kesan daripada permasalahan tersebut berlakunya kekeliruan dalam masyarakat dimana akhirnya adat didahulukan daripada sunnah Rasulullah SAW. Contoh untuk hari ini, didalam satu perkahwinan sedarkah kita pembaziran adalah satu perkara yang dilarang agama. Wang hantaran yang mahal sehingga mencecah RM20 ribu, RM30 ribu dan ada juga sehingga RM50 ribu bahkan lebih kerana mengikut adat zaman sekarang. Sedangkan Islam menggalakkan kesederhanaan dalam kehidupan.  Islam juga adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan penganutnya. Sepertimana dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatlkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, mafhumnya :

Maksudnya “ Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya : “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “ Sesuatu perkara yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu melakukannya sekadar yang kamu mampu. Sesungguhnya telah binasalah kaum sebelum kamu lantaran banyak bertanya dan mereka menyalahi para nabi “.

                Kita harus sedar dan perhatikan masalah ini. Kerana mematuhi adat hanyalah sekadar didunia sahaja. Dan tidak membawa kepada keredhaan Allah. Mempertahankan adat ialah perkara yang sia-sia. Ingatlah ketika mana orang kafir menolak Islam kerana Islam itu bercanggah dengan adat nenek moyang mereka. Jika kita pada hari ini mempertahankan adat nenek moyang kita walaupun ia bercanggahan dengan syara’ apakah bezanya kita dan mereka ? Apabila golongan yang alim mempunyai perangai seperti ini amatlah malang umat pada hari ini. Muaz bin Jabal juga mengingatkan kepada kita dimana beliau berkata berhati-hati dengan segelintir orang alim kerana sesungguhnya orang alim itu besar pengaruhnya oleh itu ramai yang akan mengikut mereka. Ulama merupakan satu entiti yang amat penting dan peranan yang dimainkan dalam masyarakat amatlah besar. Secara tak langsung ulama’ akan memberi satu pengaruh yang besar dalam masyarakat.


                Akhirnya, masyarakat kita pada hari ini perlu didedahkan dengan fahaman yang tepat dan jelas tentang Islam yang sebenar. Perlu beri pencerahan yang baik tentang adat dan sunnah. Orang-orang yang mempunyai pengaruh yang besar perlu mengajak orang bawahannya untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Media sosial yang semakin berleluasa perlu digunakan untuk menyebarkan Islam. Manfaatkan sebaiknya. Wallahu ‘alam.