Monday, 15 June 2015

Ramadhan Tiba : Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



           Ahlan wasahlan Ya Ramadhan. Alhamdulillah kita diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan kali ini. Kita amat bersyukur kerana masih diberi kesempatan ini. Yang mana ada insan-insan yang telah kembali ke rahmatullah sebelum mereka bertemu dengan Ramadhan ini. Semoga mereka tenang disana. Amin, inshaAllah.
Baik. Jom kita tuliskan sedikit perkongsian tentang Ramadhan ini.

            Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 183 :

يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 185 :

شهر رمضان الذى أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان فمن شهد منكم الشهر فليصمه ومن كان مريضا أوعلى سفر فعدة من أيام أخر يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هدىكم ولعلكم تشكرون

Maksudnya : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa bulan itu ; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Hukum berpuasa ialah WAJIB sepertimana yang telah disebutkan didalam Al-Quran dalam suarah Al-Baqarah ayat ke 183 diatas dan disebut juga didalam Hadis Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasalam iaitu :

Telah bersabda Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasalam “ Islam itu terbina keatas lima perkara : Bersaksi sesungguhnya Tiada Tuhan Melainkan Allah, bersaksi sesungguhnya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan berpuasa di Bulan Ramadhan dan menunaikan Haji di Baitullah Kaabah “.

            Bulan Ramadhan ini peluang kita untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Peluang untuk kita meraih seberapa banyak pahala. Peluang untuk kita melawan nafsu kita dari segi nafsu makan, nafsu minum, nafsu syahwat dan segala macam nafsu. Terlalu banyak peluang yang dapat kita kutip di bulan Ramadhan ini.

            Bulan Ramadhan ini juga mengajar kita erti kesabaran. Yang mana kita bersabar dalam menunaikan ibadah puasa ini. Kita bersabar dari menahan lapar dan dahaga serta nafsu syahwat bermula dari terbitnya fajar hinggalah terbenarnya matahari iaitu Maghrib.

            Seterusnya, di dalam bulan Ramadhan ini juga memiliki banyak kelebihan yang Allah berikan pada hamba-Nya. Antaranya ialah :

1.      Pintu-pintu Syurga dibuka.
2.      Pintu-pintu Neraka ditutup
3.      Syaitan-syaitan digari.
4.      Terdapat malam Lailatul Qadr.

Tambahan lagi, disaat kita berjuang menunaikan ibadah puasa ini, ingatlah sahabat kita yang berada di negara-negara yang sedang berlaku peperangan misalnya. Mereka lebih kuat berjuang dari kita. Kita hanya berjuang dari makan dan minum sahaja. Malah mereka melebihi dari makan dan minum. Mereka berjuang mempertahankan agama Allah s.w.t. dari pihak musuh.



Akhirnya, marilah kita mengejar serta meraih pahala di bulan yang penuh barakah ini. Jadikan bulan Ramadhan kita ini sebagai ‘ Hari Raya ‘ buat kita semua. Perbanyakkan qiammulail dimalam hari. Perbanyakkan zikir kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan selawat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahu ‘alaihi wasalam serta amalan-amalan yang baik. Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang diberkati Allah s.w.t. dan semoga mereka yang berjuang mempertahankan agama Allah setiasa didalam lindunganNya. Amin Ya Rabbal ‘alamin. Waallahu ‘alam.

Hasnul Hakimi Hussien | Kaherah, Mesir | 28 Sya'ban 1436 H | 14 Jun 2015 M